China ikrar tanam 70 bilion pokok menjelang 2030

Bernama
Mei 26, 2022 06:49 MYT
Xie Zhenhua berucap pada sesi 'Lindungi Planet Kita dan Umat Manusia' sempena acara tahunan WEF 2022 di Davos, Switzerland, 24 Mei 2022. - Foto World Economic Forum
DAVOS: China berikrar akan menanam dan memulihara 70 bilion pokok menjelang 2030, sebagai menyahut inisiatif Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai penanaman pokok sebanyak satu trilion di seluruh dunia.
Keputusan itu diumumkan utusan khas China bagi perubahan iklim, Xie Zhenhua ketika berucap pada sesi bertajuk "Lindungi Planet Kita dan Umat Manusia" sempena acara tahunan WEF 2022 di Davos, Switzerland, pada Selasa.
Xie menyifatkan komitmen itu sebagai satu tanggungjawab untuk menghijaukan planet, memerangi perubahan iklim serta meningkatkan kemampuan hutan menyerap dan menyimpan karbon.
Ia juga bertepatan dengan ikrar Presiden Xi Jinping pada 2020 untuk memastikan China mencapai matlamat puncak pelepasan karbon menjelang 2030 dan neutral karbon sebelum 2060.
Beliau turut menyatakan China sentiasa aktif dalam menggalakkan proses tadbir urus iklim global.

'All stakeholders should do something to make their own contribution.' Xie Zhenhua, Special Envoy for Climate Change for China, on what stakeholders can do to fight the climate crisis. Watch the session live: https://t.co/YiKlYdWy1d #wef22 pic.twitter.com/GBKBB6ya5q

— World Economic Forum (@wef) May 24, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Setelah menjadi tuan rumah Sidang Penandatangan Konvensyen Kepelbagaian Biologi ke-15 (COP15) di Kunming, kami (China) menerajui usaha melindungi sumber asli sendiri dan menggalakkan negara lain melakukan perkara yang sama," tambah Xie.
Katanya, China akan mengambil langkah-langkah konkrit untuk menterjemahkan iltizam berkenaan, antaranya termasuk menggubal dasar, mengubah pengeluaran tenaga dan memelihara simpanan karbon hutan dengan kepelbagaian semula jadinya.
"Kami akan memperkenalkan sistem dasar '1+N', iaitu '1' menjadi panduan teras mengenai neutral karbon, manakala 'N' merujuk kepada pelan tindakan untuk mencapainya.
"Ia akan menggalakkan transformasi tenaga ke arah hijau dan rendah karbon serta meningkatkan pemuliharaan sumber hutan sedia ada, sekali gus merupakan tindak balas terhadap inisiatif penanaman satu trilion pokok oleh WEF itu," jelas Xie.
-- BERNAMA
#China #WEF #Xie Zhenhua #tanam pokok
;