China hukum mati rakyat Kanada, 'perang' dua hala semakin memuncak
Astro Awani
Januari 15, 2019 10:45 MYT
Januari 15, 2019 10:45 MYT
Ketegangan hubungan diplomatik China dan Kanada semakin memuncak susulan keputusan sebuah mahkamah di China yang menjatuhkan hukuman mati ke atas rakyat Kanada yang didakwa menyeludup dadah pada Isnin (14 Jan, 2019).
Menurut laporan portal berita antarabangsa, perbicaraan dan hukuman tersebut dijalankan hanya dalam masa sehari.
Perbicaraan semula itu dilakukan selepas tertuduh, Robert Lloyd Schellenberg, merayu dikurangkan hukuman penjara 15 tahun, namun sebaliknya, mahkamah menukar kepada hukuman mati.
Tindakan itu dilihat sebagai satu bentuk tekanan oleh China terhadap tindakan Kanada yang menahan Pegawai Eksekutif Huawei Meng Wanzhou atas arahan Amerika Syarikat.
Mahkamah China dalam penghakimannya berkata wujud bukti mencukupi untuk sabitan kes dan hukuman mati adalah setimpal.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata kerajaan Kanada akan merayu bagi pihak Schellenberg untuk menukar hukuman.
Schellenberg dalam hujah rayuan berkata beliau diperangkap semasa kunjungannya ke China, ketika beliau ditangkap bersama 500 pound syabu.
Bulan lepas, pihak berkuasa China menahan dua warga Kanada, Michael Kovrig dan Michael Spavor atas alasan keselamatan negara.
China sebelum ini nyata berang dengan penahanan pegawai kanan Huawei di Kanada, Meng Wanzhou dan mahu beliau dibebaskan segera.
Namun, Kanada enggan akur dan hanya membenarkan Wanzhou untuk berada di rumah pada waktu malam di Kanada dan memakai alat pengesan elektronik di kaki.
Keputusan itu sementara menunggu permohonan rasmi Amerika Syarikat untuk mengekstradisi Wanzhou atas dakwaan melanggar undang undang sekatan ekonomi ke atas Iran.
Terkini, Kanada menasihatkan warga Kanada untuk mengambil langkah berjaga-jaga tahap tertinggi ketika berada di China dan jika mahu ke negara itu susulan sabitan hukuman tersebut.
#Canada
#China
#Dadah
#Huawei
#hubungan diplomatik China Kanada
#Iran
#Justin Trudeau
#Kanada
#Meng Wanzhou
#perang dagangan
#Robert Lloyd Schellenberg
#Xi Jinping