China harap Sidang Kemuncak G20 akan tingkat kerjasama antarabangsa menentang COVID-19

Bernama
Oktober 20, 2022 14:05 MYT
China juga berharap Sidang Kemuncak G20 akan menggalakkan pemulihan ekonomi dunia dan melindungi jaminan makanan dan tenaga global. - Reuters
BEIJING: China berharap Sidang Kemuncak G20 di Bali, Indonesia bulan depan akan memainkan peranan yang membina dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa menentang COVID-19, kata Naib Menteri Luarnya Ma Zhaoxu.
Beliau berkata China juga berharap sidang kemuncak itu yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 16 November bertema Pulih Bersama, Pulih Lebih Kukuh, akan menggalakkan pemulihan ekonomi dunia dan melindungi jaminan makanan dan tenaga global.
"Sebagai ahli penting G20, China mengambil bahagian aktif secara konsisten dalam kerjasama ekonomi antarabangsa dan tadbir urus ekonomi global serta bekerjasama dengan pihak lain untuk mewujudkan dunia yang kukuh, mampan, seimbang dan inklusif.
"Mengenai penyertaan pemimpin China pada sidang kemuncak itu, kami akan mengeluarkan maklumat yang relevan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di luar acara Kongres Parti Komunis Kebangsaan China (PKC) ke-20 hari ini.
G20 merupakan platform strategik pelbagai hala yang menghubungkan ekonomi maju dan pesat membangun utama dunia yang memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar dalam ekonomi dan pembangunan. Ia mewakili lebih daripada 80 peratus KDNK dunia, 75 peratus daripada perdagangan antarabangsa dan 60 peratus daripada populasi dunia.
G20 dianggotai Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Republik Korea, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Sepanyol dijemput sebagai tetamu tetap.
Indonesia buat pertama kalinya memegang jawatan Presiden G20 selama setahun, bermula 1 Dis 2021.
-- BERNAMA
#sidang kemuncak #G20 #Bali #China #COVID-19
;