China hantar pakar perubatan ke Korea Utara - Laporan
Reuters
April 25, 2020 10:32 MYT
April 25, 2020 10:32 MYT
CHINA dilaporkan telah menghantar satu pasukan termasuk beberapa pakar perubatan ke Korea Utara bagi menasihati pemimpinnya, Kim Jong Un.
Menurut Reuters, yang memetik tiga sumber rapat, pasukan tersebut diketuai seorang pegawai kanan di Jabatan Perhubungan Antarabangsa kerajaan China yang telah bertolak pada Khamis.
Jabatan itu merupakan agensi utama dalam pentadbiran Beijing yang ditugaskan menangani urusan dengan Korea Utara.
Namun, Reuters tidak mengesahkan sama ada kunjungan tersebut mempunyai kaitan dengan tahap kesihatan Jong Un.
Sebelum ini, agensi berita Amerika Syarikat (AS), CNN mendakwa Jong Un berada dalam keadaan kritikal susulan menjalani pembedahan.
Dalam masa yang sama, portal berita berpangkalan di Seoul, Korea Selatan pada awal minggu ini melaporkan Jong un sedang pulih selepas menjalani prosedur rawatan kardiovaskular pada 12 April.
Namun, beberapa pegawai kerajaan Korea Selatan pula melaporkan pihaknya tidak mengesan sebarang perkara luar biasa di negara jirannya.
Pada Khamis, Presiden AS Donald Trump turut menafikan laporan berhubung keadaan kritikal Jong Un: “Saya rasa laporan itu tidak benar.”
Pemimpin Korea Utara itu kali terakhir tampil di media rasmi pada 11 April.
Khabar angin mengenai kesihatannya mula bertiup kencang apabila beliau dilaporkan tidak hadir pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran datuknya, Kim Il Sung, pada 15 April.
Majlis Il Sung disambut meriah setiap tahun bagi memperingati pengasas negara itu.
#Beijing
#China
#Democratic People's Republic of Korea
#Donald Trump
#kesihatan
#Kim Il Sung
#Kim Jong Un
#Korea
#Korea Selatan
#Korea Utara