China gesa AS wujudkan persekitaran hubungan perdagangan yang sihat
Bernama
Julai 7, 2023 04:00 MYT
Julai 7, 2023 04:00 MYT
ISTANBUL: China menggesa Washington supaya mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk perdagangan dua hala yang sihat, ketika Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen mula mengadakan pertemuan dengan pegawai China di Beijing pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.
Beijing yang menentang perang perdagangan berkata: "Tiada siapa yang menang jika itu berlaku".
Sambil mendesak Washington supaya mengambil langkah konkrit untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, Kementerian Kewangan China berkata, intipati hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS adalah untuk meraih manfaat bersama serta situasi sama menang.
"Jika berlaku perang perdagangan, tidak ada siapa yang menang, sebaliknya akan berlaku pemisahan dan terputusnya rantaian," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Hubungan antara Washington dan Beijing tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan beberapa isu termasuk Taiwan, perdagangan dalam sektor teknologi dan belon China di wilayah AS yang disyaki menjalankan aktiviti mengintip.
Yellen yang tiba di Beijing pada Khamis untuk lawatan rasmi pertamanya ke China dan akan di sini sehingga Ahad.
Yellen berkata, AS mencari "pesaing ekonomi yang sihat" dan komunikasi yang lebih baik dengan China.
"Kami mencari persaingan ekonomi yang sihat yang memberi manfaat kepada pekerja dan firma Amerika dan untuk bekerjasama dalam cabaran global, kami akan mengambil tindakan untuk melindungi keselamatan negara kami apabila diperlukan.
"Lawatan itu memberi peluang untuk berkomunikasi dan mengelakkan salah faham," tulis Yellen di Twitter.
Bulan lepas, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken juga melawat Beijing dan bertemu Presiden China Xi Jinping. - BERNAMA