China gesa segera wujudkan gencatan senjata di Gaza, redakan situasi serantau

Bernama
Ogos 16, 2024 18:30 MYT
Geng turut berkata, China mengalu-alukan perjanjian dicapai kerajaan Yaman dengan kumpulan militan Houthi dalam bidang kewangan dan penerbangan. - Gambar fail
GENEVA: Pihak-pihak terbabit didesak segera mewujudkan gencatan senjata di Genting Gaza dan secepat mungkin meredakan ketegangan dalam situasi serantau yang membabitkan Yaman dan Laut Merah.
Demikian dinyatakan Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai situasi Yaman pada Khamis.
Menurut beliau, China mengalu-alukan perjanjian dicapai kerajaan Yaman dengan kumpulan militan Houthi dalam bidang kewangan dan penerbangan serta menantikan pihak-pihak berkenaan mengambil contoh daripada itu, mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Yaman, mempertahankan penyelesaian masalah dengan saluran politik, mengetepikan gangguan, menangani percanggahan pendapat menerusi dialog dan rundingan serta mendorong proses politik komprehensif yang diterajui rakyat Yaman demi manfaat rakyat tempatan.
Sementara itu, China juga menyeru kumpulan militan Houthi meghormati hak pelayaran kapal niaga pelbagai negara di perairan Laut Merah, menghentikan serangan dan gangguan yang boleh menjadikan pelayaran di perairan terbabit terjejas, di samping menggesa pihak-pihak lain bersabar dan menggantungkan tindakan yang boleh meruncingkan situasi serantau.
"Situasi semasa di Yaman dan Laut Merah berkait rapat dengan konflik di Gaza. China mendesak pihak berkenaan secepat mungkin melaksanakan resolusi No. 2712, 2720, 2728 dan 2735 UNSC, segera merealisasikan gencatan senjata dan meredakan ketegangan dalam situasi semasa di Yaman dan Laut Merah," kata Geng lagi.
-- BERNAMA
#China #Gaza #Palestin #kekejaman israel