China gesa noktahkan kesengsaraan rakyat Palestin

Bernama
Mei 16, 2024 16:45 MYT
China berpendapat, ketidakadilan yang dideritai penduduk Palestin sejak 1948 masih belum diselesaikan, sebaliknya bertambah buruk. - Gambar fail/ Reuters
BEIJING: China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menggerakkan penyelesaian isu Palestin secara menyeluruh, adil dan tuntas serta menoktahkan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.
Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar (MFA) Wang Wenbin semasa taklimat harian di sini pada Rabu, sempena genap 76 tahun tragedi Nakba.
Beliau berkata tahun 1948 menyaksikan lebih separuh penduduk Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa Perang Arab-Israel dan ramai daripada mereka serta keturunan mereka menjadi pelarian di Gaza.
Kini, ketidakadilan yang dideritai penduduk Palestin sejak itu masih belum diselesaikan, sebaliknya bertambah buruk, tambah Wang.
"Hari ini, Gaza ranap dibom dengan puing-puing berhamburan merata-rata. Mereka yang cedera dan sakit tidak dapat menerima rawatan segera, yang lapar tidak dapat beroleh barangan keperluan asas dan yang melarikan diri daripada malapetaka tiada tempat berlindung.
"Apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah sampai bilakah krisis kemanusiaan dan penderitaan rakyat Palestin akan berakhir.
"Kami (China) berpendirian tegas menentang pertempuran daripada terus merebak ke Rafah serta hukuman kolektif menyasar penduduk di Gaza," kata Wang.
Beliau menyatakan Beijing mendukung penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan tahun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
"Kami menyokong keanggotaan penuh Palestin menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secepat mungkin," ujar beliau.
-- BERNAMA
#China #Palestin #kekejaman israel #pendirian china
;