China gesa elak konflik, anggap sudah selesai

Astro Awani
April 15, 2024 10:00 MYT
Dai Bing memberitahu China mendapati tindakan ketenteraan Iran sebagai respon terhadap serangan Israel terhadap konsulat mereka di Damsyik, Syria. - Foto REUTERS
NEW YORK: China menggesa semua pihak mengelak konflik susulan tindakan serangan Iran ke atas Israel serta menganggap perkara itu sudah selesai.
Timbalan Wakil PBB China, Dai Bing memberitahu pihaknya mendapati tindakan ketenteraan Iran sebagai respon terhadap serangan Israel terhadap konsulat mereka di Damsyik, Syria.
"Kami juga mendapati bahawa menurut Iran, tindakan ketenteraan mereka adalah sebagai tindak balas terhadap keganasan Israel terhadap premis diplomatiknya dan perkara ini boleh dianggap selesai.
"China menyeru pihak yang berkenaan menunjukkan kawalan maksimum serta menyelesaikan perbezaan dan perselisihan mereka mengikut tujuan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk mengelakkan sebarang eskalasi berlanjutan," katanya.
Dalam pada itu, duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata negara-negara barat termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mempamerkan sikap hipokrit selepas mereka engga menyokong kenyataan yang mengutuk serangan Israel ke atas konsulat Iran pada 1 April.
Nebenzi mengutuk tindakan Israel terhadap Iran yang disifatkan jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Vienna yang melarang pencerobohan terhadap kemudahan diplomatik.
#China #Diplomatic #Iran #PBB
;