China: Genap lima tahun Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao beroperasi
Bernama
Oktober 23, 2023 04:15 MYT
Oktober 23, 2023 04:15 MYT
BEIJING: Sejak mula beroperasi lima tahun yang lalu, Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao (HZMB) telah membantu meningkatkan nilai import dan eksport di pelabuhan darat Zhuhai HZMB.
Setakat Oktober tahun ini nilai import dan eksport yang dikendalikan melalui pelabuhan berkenaan mencecah RMB700 bilion (RM437 bilion).
Pelabuhan darat Zhuhai HZMB merupakan antara saluran utama bagi menghantar barang keperluan harian yang dibekalkan kepada penduduk Hong Kong.
Banyak kelengkapan bagi projek pembinaan prasarana di Hong Kong turut diangkut melalui jambatan itu.
Perkhidmatan pelepasan kastam dalam tempoh 24 jam turut membantu menjadikan jambatan itu nadi logistik di Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao.
Selain untuk pengangkutan logistik, jambatan berkenaan turut menjadi laluan utama untuk pergerakan penduduk di antara tiga tempat terbabit.
Di pelabuhan darat Zhuhai HZMB, bas yang menuju ke Hong Kong dan Macao berlepas setiap lima minit.
Selain menggunakan pengangkutan awam, penduduk dari Hong Kong dan Macao juga boleh mendapatkan permit untuk memandu kereta ke Tanah Besar.
Sejak awal tahun ini, sebanyak 2.35 juta kenderaan melalui jambatan berkenaan dan menyaksikan lebih 7.02 juta penduduk dari Hong Kong dan Macao memasuki Tanah Besar.
HZMB dapat mengurangkan masa perjalanan dari Hong Kong ke Zhuhai dan Macao daripada tiga jam kepada hanya kira-kira 45 minit. - BERNAMA