China gantung perkhidmatan visa Korea Selatan sebagai bantahan peraturan COVID-19
Bernama
Januari 10, 2023 15:30 MYT
Januari 10, 2023 15:30 MYT
SEOUL: China pada Selasa mengumumkan penggantungan perkhidmatan visa jangka pendek untuk rakyat Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap peraturan kemasukan COVID-19 Seoul, lapor Yonhap.
Kedutaan China di Seoul mengumumkan keputusan itu dalam catatan di akaun WeChatnya, memetik "arahan" dari Beijing agar kedutaan dan konsulatnya menghentikan pengeluaran visa termasuk lawatan untuk tujuan perdagangan, pelancongan dan perubatan.
Korea Selatan didakwa mengetatkan peraturan ke atas pelancong dari China, menghentikan pengeluaran visa jangka pendek untuk rakyat China sehingga akhir bulan ini, serta mewajibkan semua pelancong menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan.
Pada Isnin, Menteri Luar China Qin Gang menyuarakan kebimbangan terhadap langkah Seoul menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Park Jin.
Park menjelaskan bahawa sekatan itu dikenakan "atas dasar saintifik," menurut pejabatnya.
-- BERNAMA