China di Asia Selatan: Kebangkitan ketenteraan timbulkan keresahan - Penganalisis
Astro Awani
Jun 1, 2022 13:13 MYT
Jun 1, 2022 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan peranan dan pengaruh negara China di Asia Selatan sepanjang dekad yang lepas membawa implikasi besar ke atas politik, ekonomi dan keselamatan serantau.
Malah, kebangkitan kuasa China juga telah membawa pelbagai cabaran baharu kepada India, khususnya apabila China dilihat lebih memihak kepada Pakistan dalam pertikaian berhubung isu Kashmir.
Namun, menurut Pakar Pengajian Strategik & Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ravichandran Moorthy, masalah utama antara China dan India adalah pertelingkahan sempadan legasi daripada penjajahan.
Turut menjadi kebimbangan ialah, kebangkitan ketenteraan China, katanya.
"Apa yang membimbangkan masyarakat dunia adalah kebangkitan ketenteraan China dan itu adalah sesuatu yang disuarakan oleh negara-negara besar dan negara kecil.
"Negara-negara besar sudah mula memperkenalkan mekanisme tertentu untuk mengurangkan aspirasi China dalam menjadi satu kuasa besar di rantau Asia dan keseluruhannya," ujar Ravichandran.
Jelasnya, kebanyakan masalah yang tercetus adalah bersifat geopolitik dan perlukan masa yang lama untuk diselesaikan.
Penyelesaian jangka pendek adalah sesuatu yang masih tidak dapat dilakukan ketika ini.
Apa yang perlu dilakukan China adalah, meningkatkan hubungan diplomatik antarabangsa bersama negara lain untuk meraih keyakinan mereka dan membuktikan repulik itu bukan ancaman.
Malaysia pula, kata Ravichandran, perlu lebih berhati-hati dalam memperbaiki hubungan diplomatik bersama China.
"Ada beberapa perkara yang perlu kita awasi dan ambil iktibar, bagaimana hendak menjalinkan hubungan lebih baik dengan China.
"Saya berpendapat, pasti ramai juga pengkaji bersetuju, sekiranya China ada peluang untuk menguasai sesuatu wilayah, mereka akan melakukannya seperti apa yang berlaku di India, Jepun dan sebagainya," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi yang membincangkan topik 'China di Asia Selatan: Pertembungan naga dan harimau?' hari ini.