China dan Indonesia contoh hubungan negara membangun yang kukuh - Xi Jinping
Bernama
Mac 17, 2022 16:52 MYT
Mac 17, 2022 16:52 MYT
BEIJING: China dan Indonesia merupakan negara membangun yang utama dan wakil entiti ekonomi baharu, kata Presiden Xi Jinping.
Beliau berkata tatkala menghadapi perubahan dunia yang besar dan pandemik COVID-19, kedua-dua negara berganding bahu menghadapi cabaran dan berjaya membina pola baharu "pacuan empat roda" bagi hubungan dua hala dalam kerjasama politik, ekonomi, sosiobudaya serta maritim.
"Ini turut memperkasakan kesepakatan, kerjasama dalam melawan wabak dan pembangunan bersama, sekali gus membina komuniti berkongsi nasib China-Indonesia," kata Xi ketika mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), pada Rabu.
Beliau berkata, hubungan antara China dengan Indonesia menjadi contoh kerjasama dalam kalangan kebanyakan negara membangun.
Tambah Xi, China bersedia mengekalkan komunikasi yang erat dengan Indonesia, serta terus meningkatkan kerjasama untuk menyuntik elemen kestabilan dan positif terhadap situasi serantau dan antarabangsa.
"Kedua-dua negara perlu melaksanakan konsensus kerjasama vaksin COVID-19, terus memperkasakan kerjasama memerangi wabak dan menjamin Kereta Api Laju (HSR) Jakarta-Bandung beroperasi mengikut jadual.
"Konsensus itu juga termasuk dalam melaksanakan projek penting sepertri 'koridor ekonomi komprehensif serantau' dan 'dua negara, dua taman', serta inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi," katanya.
Menurut Xi, China juga berpindirian positif terhadap semua projek yang bermanfaat bagi pembangunan Indonesia dan kerjasama antara kedua-dua negara.
"Pada masa sama, kedua-dua pihak perlu memelihara kestabilan pasaran dan kelancaran rantai bekalan global, memelihara kerangka serantau berteraskan ASEAN yang terbuka dan inklusif," katanya.
Sementara itu, Presiden Jokowi berkata kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Indonesia dengan China kini semakin pesat berkembang.
Beliau berkata pihaknya komited bekerjasama dengan China untuk menyelesaikan pembinaan HSR Jakarta-Bandung mengikut jadual, dan ia diyakini dapat memberikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
"Indonesia juga berharap dapat mengadakan kerjasama tiga pihak dengan China untuk membantu pembinaan ibu negara baharu Indonesia," kata Jokowi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyifatkan inisiatif pembangunan global yang dicadangkan Presiden Xi sebagai kondusif untuk merealisasikan Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.
Justeru, Jokowi berkata Indonesia akan menyokong sepenuhnya dan bersedia untuk berkomunikasi rapat dengan China bagi mendorong pelaksanaan inisiatif itu dan memberikan sumbangan bagi pembangunan bersama global.
-- BERNAMA