China dan ASEAN mahu mantapkan lagi kerjasama saling menguntungkan
Bernama
Mac 28, 2023 05:45 MYT
Mac 28, 2023 05:45 MYT
BEIJING: China menghargai keanggotaan ASEAN dalam 'Group of Friends' Inisiatif Pembangunan Global (GDI), serta komited menggalakkan kerjasama yang saling menguntungkan di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP).
Menteri Luar China, Qin Gang berkata demikian semasa mengadakan pertemuan empat mata dengan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn di sini, pada Isnin.
Qin berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 disyorkannya visi komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat antara China dengan ASEAN. Kedua-dua pihak hidup bersama secara damai dan menjadi contoh terbaik dalam hubungan sesama tetangga.
Menurut beliau, China bersedia bersama dengan ASEAN untuk mempertahankan peraturan dan orde serantau berdasarkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Sementara itu, Kao menyuarakan kesediaan ASEAN untuk mempergiat rundingan mengenai pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0.
Beliau juga mahu perbincangan berhubung Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dipercepat demi bersama-sama memelihara kestabilan dan kemakmuran serantau.
-- BERNAMA