China cari lebih banyak negara untuk ujian vaksin peringkat akhir

Astro Awani
September 6, 2020 08:30 MYT
Ujian tahap tiga CNBG dijangka melibatkan 50,000 orang di sekitar 10 negara. -Gambar fail
China National Biotec Group (CNBG) dan Sinovac Biotech Ltd sahkan empat lagi negara bersetuju untuk menjalankan ujian klinikal peringkat akhir calon vaksin koronavirus mereka.
Antaranya, Serbia dan Pakistan yang bersetuju dengan percubaan tahap tiga.
Pada masa ini, kedua-dua syarikat tersebut mencari lebih banyak data di luar negara memandangkan kes baharu di China semakin berkurangan.
Serbia akan menguji dua vaksin yang dikembangkan oleh unit Wuhan dan Beijing CNBG.
Manakala Pakistan akan menguji calon unit Beijing.
Naib Presiden CNBG, Zhang Yuntao berkata ujian tahap tiga CNBG dijangka melibatkan 50,000 orang di sekitar 10 negara.
"Sekarang hampir 40,000 orang telah didaftarkan untuk ujian klinikal dan jumlahnya diharapkan mencapai 50,000. Dilihat dari data percubaan klinikal fasa-1, fasa-2 dan fasa-3 ketika ini, vaksin itu selamat.
“Sekiranya fasa-3 klinikal penilaian mengesahkan keberkesanannya, kami akan mencuba untuk memasarkannya pada akhir tahun ini," katanya.
Percubaan sudah bermula di Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Peru, Maghribi, Argentina dan Jordan.
Zhang menyatakan, negara-negara asing menyatakan minat untuk memesan 500 juta dos vaksin gabungannya.
CNBG dijangka dapat menghasilkan 300 juta dos vaksin setahun setelah ia meningkatkan teknik pembuatan dan sedang merancang untuk meningkatkan kapasiti tahunannya menjadi 1 bilion dos.
Pengarah kanan strategi global dan pengembangan perniagaan di Sinovac, Helen Yang berkata, calon vaksin Sinovac, Coronavac, yang diuji di Brazil dan Indonesia juga memperoleh persetujuan dari dua negara lain untuk percubaan tahap 3.
Walaupun peringkat percubaan terakhir masih dijalankan untuk membuktikan vaksin itu selamat dan berkesan, China telah memberi kebenaran kepada calon vaksin dari Sinovac dan CNBG untuk penggunaan kecemasan bagi mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi seperti pekerja perubatan.
Puluhan ribu orang telah menggunakan Coronavac melalui program kecemasan.
#Brazil #China #China National Biotec Group #CNBG #Coronavac #COVID-19 #Helen Yang #Indonesia #perubatan #Sinovac
;