China, AS capai kesepakatan dalam lima perkara
Bernama
Jun 19, 2023 17:41 MYT
Jun 19, 2023 17:41 MYT
BEIJING: Dasar China terhadap Amerika Syarikat (AS) kekal konsisten dan stabil dengan berpandukan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman dan kerjasama yang memberikan situasi sama menang.
Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di sini, pada Ahad, Menteri Luar China Qin Gang berkata prinsip itu perlu dijunjung bersama oleh kedua-dua pihak.
Difahamkan China dan AS bersetuju untuk melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara di Bali, selain mengendalikan perselisihan secara efektif serta menggalakkan dialog, pertukaran dan kerjasama.
Kedua-dua pihak turut sepakat mengekalkan interaksi peringkat tinggi dan terus menggerakkan rundingan berhubung prinsip yang menjadi panduan hubungan China-AS.
Antara lain yang dipersetujui termasuk mempergiat rundingan kumpulan kerja bersama bagi menyelesaikan isu-isu konkrit dalam hubungan dua hala; memperluas pertukaran dari segi sosiobudaya dan pendidikan serta menambah kekerapan penerbangan.
Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan pertukaran lawatan membabitkan pelajar, sarjana dan ahli perniagaan serta berjanji menyediakan sokongan dan kemudahan yang sewajarnya.
Dalam pertemuan itu, Qin turut mengulangi bahawa isu Taiwan adalah teras kepada kepentingan asas China dan juga isu terpenting dalam hubungan China-AS.
"AS perlu mematuhi prinsip satu China dan tiga pengumuman bersama China-AS, serta menterjemahkan komitmen tidak menyokong cubaan 'kemerdekaan Taiwan'," tegas beliau.
-- BERNAMA