China, Britain tingkatkan kerjasama tenaga hidrogen

Bernama
Mei 3, 2022 16:16 MYT
Menurut Zheng Zeguang, forum kali ini juga adalah untuk melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara bagi meningkatkan kerjasama tenaga hijau dan perlindungan ekologi. - Twitter@AmbZhengZeguang
BEIJING: China dan Britain baru-baru ini mengadakan Forum Kerjasama Tenaga Hidrogen secara hibrid, dalam usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama di sektor tenaga hijau dan perlindungan ekologi.
Duta China ke Britain, Zheng Zeguang ketika menyampaikan ucaptamanya berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik peringkat duta antara China dengan Britain.
"Forum kali ini juga adalah untuk melaksanakan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara bagi meningkatkan kerjasama tenaga hijau dan perlindungan ekologi.
"Selain itu, forum berkenaan juga satu langkah pragmatik untuk merapatkan kerjasama antara bandar raya Wuhan dan Manchester, khususnya dalam bidang tenaga hidrogen dan pembangunan karbon rendah," kata Zheng.
Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Britain atas China, Frank Slevin berkata sejak lima dekad lalu telah membuktikan China dan Britain mampu mengembangkan hubungan dua hala berdasarkan kepentingan bersama.
"Kemajuan sains dan teknologi untuk menangani masalah perubahan iklim ialah kandungan penting dalam kerjasama kedua-dua negara," kata Slevin.
Forum itu juga menyaksikan memorandum kerjasama tenaga hidrogen antara Wuhan dan Manchester telah ditandatangani.
-- BERNAMA
#China #Britain #kerjasama #tenaga hijau #hidrogen
;