China bersedia tingkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang AI
Bernama
Februari 11, 2025 16:20 MYT
Februari 11, 2025 16:20 MYT
China komited merancakkan landskap pembangunan yang terbuka, inklusif dan saling menguntungkan dalam bidang AI.
BEIJING: China bersedia untuk meningkatkan kerjasama dan interaksi dengan pelbagai pihak dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dengan mendorong perkongsian melalui perbincangan bersama, kata Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun.
Beliau berkata China juga komited merancakkan landskap pembangunan yang terbuka, inklusif, saling menguntungkan dan sama menang di samping bersama-sama meneroka secara mendalam dalam bidang AI.
Terbaharu, DeepSeek, syarikat AI China telah mengeluarkan model besar terbuka yang berprestasi cemerlang dan percuma untuk kegunaan komersial. Kos latihannya pula lebih rendah berbanding produk serupa yang lain.
Menurut Guo, China telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan AI global dengan bertindak pantas menghadapi cabaran revolusi AI. China juga mempergiat pembangunan inovasi, mengambil berat terhadap keselamatan AI, serta menyokong dan menggalakkan syarikat domestik melakukan inovasi.
"Untuk bidang AI, China juga giat mengamalkan nilai universal dalam pembangunan yang bersifat inklusif, membantu negara-negara membangun untuk meningkatkan pembinaan keupayaan, mencadangkan teknologi AI sumber terbuka, mempromosikan kebolehcapaian perkhidmatan AI dan memperjuangkan matlamat untuk berkongsi manfaat dengan pelbagai negara dalam bidang AI," kata Guo dalam sidang media di sini semalam.
Guo berkata China menolak tindakan yang membezakan negara berdasarkan ideologi atau menyalahgunakan konsep 'keselamatan negara' secara melampau.
Beliau juga mengecam usaha mempolitikkan isu ekonomi, perdagangan dan teknologi.
--BERNAMA-CMG