China bantah 'transit' Tsai Ing-wen di AS
Bernama
April 6, 2023 17:06 MYT
April 6, 2023 17:06 MYT
BEIJING: China tegas membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengizinkan pemimpin Taiwan, Tsai Ing-wen "transit" di AS, kata jurucakap Kementerian Luar China pada Khamis.
Menurut jurucakap itu, langkah itu dilihat bertujuan untuk memecahbelahkan China tanpa menghiraukan bantahan dan amaran berulang kali yang disuarakan China.
"Tindakan AS ini bercanggah dengan prinsip Satu China dan peraturan dalam tiga Pengumuman Bersama China-AS, mencabuli kedaulatan dan keutuhan wilayah China,dan menghantar isyarat yang salah tentang 'Kemerdekaan Taiwan' kepada puak pemisah," kata beliau.
Prinsip Satu China adalah konsensus umum masyarakat antarabangsa dan norma asas dalam hubungan antarabangsa, selain turut menjadi prasyarat serta asas bagi jalinan dan perkembangan hubungan diplomatik China-AS.
"Dalam ketiga-tiga Pengumuman Bersama China-AS itu, AS membuat komitmen yang jelas bahawa hanya mengekalkan hubungan tidak rasmi dengan Taiwan. Namun AS sebenarnya terus menjejaskan prinsip Satu China.
"Sejak memegang jawatan, Tsai enggan mengiktiraf Konsensus 1992 yang merangkumi prinsip Satu China bahkan mempergiatkan 'kemerdekaan' dengan pelbagai alasan.
"Ini mengakibatkan hubungan kedua-dua pantai Selat Taiwan terjebak dalam situasi yang amat sukar," kata jurucakap itu.
Isu Taiwan adalah isu utama dalam kepentingan teras China dan garis merah pertama yang tidak boleh dilanggar dalam hubungan China-AS.
"Sebagai tindak balas terhadap tindakan AS dan Taiwan, China akan mengambil langkah yang tegas untuk membela kedaulatan dan keutuhan wilayah negara sendiri," jelas beliau.
China sekali lagi menggesa AS mematuhi prinsip Satu China dan peraturan dalam tiga Pengumuman Bersama China-AS, menunaikan janji pemimpin AS berhubung tidak menyokong 'Kemerdekaan Taiwan', 'dua China' atau 'satu China, satu Taiwan', menghentikan sebarang bentuk program pertukaran rasmi serta tindakan menaik taraf hubungan substantifnya.
China juga mahu AS berhenti daripada mewujudkan anasir yang meruncingkan ketegangan di Selat Taiwan serta tindakan yang mengekang pembangunan China dengan mengeksploitasi isu Taiwan.
Pada hari sama, jurucakap Kementerian Pertahanan Negara China berkata Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China akan berpegang kepada tanggungjawab dan misinya, selain berjaga-jaga pada setiap masa untuk membela kedaulatan dan keutuhan wilayah negara serta keamanan dan kestabilan di seluruh kawasan Selat Taiwan.
-- BERNAMA