China, ASEAN bekerja keras muktamadkan COC di Laut China Selatan - Menteri Luar China
Bernama
Mac 7, 2024 22:03 MYT
Mac 7, 2024 22:03 MYT
BEIJING: China bersama anggota ASEAN sedang memuktamadkan dokumen awal Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan, dengan bacaan kedua COC selesai dan kini menunggu bacaan ketiga.
Menteri Luar China Wang Yi berkata COC akan menjadikan Laut China Selatan kekal sebagai "lautan keamanan dan kerjasama".
"Pengalaman paling penting yang kami peroleh adalah untuk mematuhi dua prinsip. Pertama, perselisihan harus diurus dan diselesaikan melalui dialog dan perundingan antara negara yang terlibat secara langsung.
"Kedua, keamanan di laut itu perlu dijaga oleh China dan anggota ASEAN menerusi kerjasama. Ini juga merupakan prinsip teras dalam deklarasi tatalaku pihak-pihak di Laut China Selatan yang ditandatangani pada 2002," kata Wang pada sidang media Khamis.
Beliau berkata China banyak mengambil langkah-langah untuk mengawal keadaan dalam pertikaian maritim.
"Kami mahu lihat bahawa pihak-pihak terlibat perlu mencari penyelesaian yang saling boleh diterima atau dengan semua melalui usaha atas semangat jiran yang baik dan persahabatan serta menghormati fakta sejarah dan undang-undang," katanya.
Beliau juga menggesa "negara tertentu" di luar rantau itu supaya tidak membuat provokasi, memihak atau mencetuskan masalah di Laut China Selatan.
"Setelah mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, China dan ASEAN meneruskan dengan pelaksanaan COC dan pada masa yang sama mempercepatkan rundingan dalam COC dan mewujudkan peraturan serantau yang lebih berkesan, substantif selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang laut," katanya.
-- BERNAMA