China arahkan konsulat Amerika Syarikat di Chengdu ditutup
Agensi
Julai 24, 2020 13:01 MYT
Julai 24, 2020 13:01 MYT
Susulan tindakan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengarahkan penutupan konsulat China di Houston, Beijing pada Jumaat bertindak balas dengan mengarahkan AS supaya menutup konsulatnya pula di bandar Chengdu.
Langkah itu dilihat meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu ekoran beberapa tindakan agresif termasuk menyekat visa, mengubah syarat pekerjaan diplomat serta menyingkirkan wartawan asing dipihak Amerika Syarikat.
“Langkah diambil China ini adalah sah dan perlu, susulan tindakan tidak adil oleh Amerika Syarikat,” menurut satu kenyataan yang disiarkan Kementerian Luar negara itu di laman web kementerian itu.
“Ia selaras dengan undang-undang antarabangsa, norma asas hubungan antarabangsa dan amalan diplomatik sebelum ini.”
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memaklumkan bilakah konsulat AS itu akan ditutup dan dikosongkan.
“Amerika Syarikat bertanggungjawab atas semua tindakan ini,” tambah kementerian itu.
Sebelum ini, Amerika Syarikat telah memberikan China tiga tempoh tiga hari untuk mengosongkan konsulat negara itu di Houston.
Susulan itu diplomat dan media China memberikan amaran akan bertindak balas.
Pengumuman dibuat hanya beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo mengeluarkan kenyataan merujuk kepada tindakan Washington yang dilihat semakin agresif terhadap China.
Pompeo dalam satu kenyataan pada Khamis berkata konsulat China di Houston digunakan sebagai ‘pusat mengintipan dan merompak harta intelek Amerika Syarikat’.
“Kita perlu terima hakikat bahawa sekiranya kita impikan abad ke-21 yang bebas, dan bukan abad China yang diimpikan Xi Jinping (Presiden China), China tidak akan berjaya mencapai objektif itu,” tegas Pompeo.
“Kita tidak boleh teruskan dan kembali kepada pendekatan itu.”
Hubungan China-AS semakin merosot di sebalik beberapa konflik yang tercetus termasuk perdagangan, pandemik COVID-19, industri teknologi, Hong Kong dan dakwaan berhubung penindasan terhadap komuniti etnik Uighur.
Kedutaan Amerika Syarikat terletak di Beijing manakala lima lagi konsulat pula di bandar lain - Shanghai, Guangzhou, Chengdu, Shenyang dan Wuhan serta di wilayah pentadbiran khas, Hong Kong.
#Amerika Syarikat
#AS
#Beijing
#chengdu
#China
#Donald Trump
#Hong Kong
#Houston
#hubungan China-AS
#konsulat
#Mike Pompeo
#Uighur
#Washington
#White House
#Xi Jinping