China anjur dialog mengenai isu Afghanistan
Bernama
April 1, 2022 16:02 MYT
April 1, 2022 16:02 MYT
BEIJING: China pada Khamis menganjurkan Dialog Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan dengan negara-negara jirannya yang dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi di Tunxi, provinsi Anhui.
Dialog itu turut dihadiri menteri luar dan wakil negara anggota mekanisme kerjasama penyelarasan negara jiran Afghanistan, pemangku Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, serta Menteri Luar Indonesia, Retno Lestari Priansari Marsudi.
Wang Yi berkata, adalah penting untuk mengekalkan kerjasama dan kesamarataan, di samping menentang konfrontasi dan hegemoni.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya mengabaikan isu Afghanistan dan hanya tertumpu pada isu Ukraine, kerana Afghanistan juga sedang bergelut dengan kesukaran.
"Selain itu, pelbagai pihak perlu mencapai kata sepakat untuk menstabilkan situasi negara ini (Afghanistan), membanteras keganasan, membaik pulih kehidupan rakyat dan mengembangkan ekonomi," kata Wang.
Sementara itu, Amir Khan Muttaqi turut menzahirkan penghargaan kepada China atas kesudian untuk menganjur dan mengundang pihaknya menghadiri dialog kali ini.
Beliau menekankan bahawa pihaknya menentang sebarang kuasa yang mahu menduduki wilayah Afghanistan, dan menentang mana-mana negara untuk mempergunakan wilayah Afghanistan.
"Kami akan berusaha mengembangkan hubungan persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan dengan negara jiran.
"Kami telah mengubah suai gaya pentadbiran untuk merealisasikan kestabilan dan mendorong pembangunan serta berharap negara jiran memberi pengiktirafan diplomatik kepada kerajaan sementara negara ini dengan secepat mungkin," katanya.
Muttaqi juga menggesa Amerika Syarikat (AS) segera membatalkan pembekuan aset Afghanistan di luar negara dan sekatan yang tidak rasional.
Menteri luar dan wakil dari pelbagai negara yang menghadiri dialog kali ini menyambut baik usaha China menganjurkan dialog itu.
Peluang berdialog ini dipercayai telah meningkatkan persefahaman antara negara rantau itu khususnya negara jiran Afghanistan.
-- BERNAMA