Chile bergelut mengawal kebakaran hutan, 4,400 hektar kawasan musnah setakat ini

Bernama
Disember 15, 2022 11:31 MYT
Kebakaran terbesar yang sedang berlaku itu telah memusnahkan 309 hektar kawasan di Palmilla, sebuah komun (perkampungan) di wilayah O'Higgins di selatan Santiago. - Reuters
SANTIAGO: Chile sedang bertungkus lumus Memadam kebakaran hutan besar yang setakat ini telah memusnahkan lebih 4,400 hektar kawasan di wilayah tengah dan selatan negara itu, menurut Pejabat Kecemasan (Onemi) Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Awam pada Rabu.
Setakat ini, 25 kawasan kebakaran hutan sudah berjaya dikawal dan anggota penyelamat masih berusaha untuk memadam kebakaran di lapan lagi kawasan.
Kebakaran terbesar yang sedang berlaku itu telah memusnahkan 309 hektar kawasan di Palmilla, sebuah kawasan terkecil di wilayah O'Higgins di selatan Santiago, lapor Xinhua.
Di kawasan Lolol, Santa Cruz dan di O'Higgins kebakaran sudah memusnahkan 1,915 hektar kawasan dan setakat ini kebakaran berjaya dikawal namun belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Seorang maut dan lima lagi cedera dalam kebakaran di wilayah Metropolitan, tengah Santiago manakala 46 rumah dan 659 hektar kawasan musnah.
Agensi meteorologi Chile mengeluarkan amaran pada Selasa untuk tujuh daripada 16 wilayah ekoran suhu tinggi yang telah mencetuskan berpuluh-puluh kebakaran hutan.
Amaran itu dikatakan berkuat kuasa sehingga Jumaat dan turut terpakai di wilayah Metropolitan yang didiami lebih tujuh juta orang.
-- BERNAMA
#Chile #kebakaran hutan #ONEMI #Kementerian Dalam Negeri
;