"Terdapat tiga kes yang sedang kami siasat, dan kami masih menunggu untuk menentukan sama ada terdapat kegagalan pada penjana sokongan," katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Ximena Aguilera mengesahkan bahawa ketiga-tiga pesakit bergantung sepenuhnya pada peralatan sokongan hayat berkuasa elektrik.
"Kami menerima laporan mengenai tiga pesakit yang bergantung kepada bekalan elektrik meninggal dunia pada waktu malam.
"Namun, punca kematian mereka belum dapat dipastikan sama ada berkaitan dengan gangguan bekalan elektrik atau tidak," kata Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha.
Toha turut memaklumkan bahawa bekalan elektrik telah dipulihkan di 97 peratus kawasan yang terjejas dan perintah berkurung yang dilaksanakan sebelumnya telah ditarik balik.
Gangguan bekalan elektrik itu memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung dan menggantung pelbagai aktiviti di seluruh negara, termasuk Festival Antarabangsa Vina del Mar dan kejohanan tenis Chile Open.
Presiden Chile, Gabriel Boric dalam ucapannya dari Istana Kerajaan menjelaskan bahawa gangguan itu berpunca daripada kegagalan elektrik pada talian antara Vallenar dan Coquimbo di utara negara itu, yang dikendalikan oleh syarikat ISA InterChile.
-- BERNAMA
