Chef paling lama bertugas di White House Roland Mesnier meninggal dunia
Agensi
Ogos 29, 2022 16:30 MYT
Ogos 29, 2022 16:30 MYT
WASHINGTON: Roland Mesnier, chef pastri eksekutif di White House, Amerika Syarikat telah meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Kematiannya disahkan Sabtu oleh Persatuan Sejarah White House, yang memaklumkan mendiang meninggal dunia pada Jumaat, tidak lama selepas jatuh sakit.
Mesnier, salah seorang chef yang paling lama berkhidmat di White House, mula bertugas pada tahun 1979 dan bersara semasa pentadbiran George W. Bush.
Mendiang dikenali kerana kepakarannya menyediakan pelbagai jenis pencuci mulut yang lazat.
"Selama 25 tahun saya berada di sini, saya perhatikan anggota Demokrat biasanya makan lebih banyak daripada Republikan. Saya juga mendapati jika tetamu kebanyakannya wanita, mereka biasanya akan makan lebih banyak pastri daripada lelaki," katanya dalam satu temu bual beberapa tahun lalu.
Mesnier dibesarkan di Bonnay, sebuah perkampungan di timur Perancis dan memulakan kerjayanya sebagai perantis pada usia 14 tahun.
Dia memulakan latihan di Patisserie Maurivard di Besançon, Perancis, dan pernah bekerja di Paris, Hamburg dan London.
Pada tahun 1967, dia menjadi tukang masak pastri di sebuah hotel di Bermuda dan bertemu dengan isterinya, seorang guru sekolah dari West Virginia, Amerika Syarikat.
Dia berpindah ke A.S dan bekerja di sebuah resort sebelum memulakan tugas di White House.