Chef Itali buka restoran gelandangan, cipta hidangan daripada 'sisa' makanan
Agensi
Disember 24, 2017 10:41 MYT
Disember 24, 2017 10:41 MYT
Chef Itali dengan status Michelin, Massimo Bottura, bercadang untuk membuka dua buah restoran di Paris dan Naples tahun depan, namun pelanggan golongan berada tidak dialu-alukan.
Lain daripada biasa, restoran itu bakal menghidangkan makanan percuma, yang diperbuat daripada lebihan sisa stok jualan dari pasar raya dan hanya dihidangkan kepada golongan miskin.
Restoran berprestij milik Bottura di Modena, utara Itali, mengenakan caj sekitar 250 Euro setiap seorang, namun di Milan nanti, restoran bernama Refettorio Ambrosiano itu akan hanya memberi makan kepada orang miskin yang kebanyakannya gelandangan.
Bottura merancang untuk meluaskan lagi eksperimen kebajikan itu.
Bertempat di sebuah teater lama, Refettorio menyediakan hidangan percuma menggunakan bahan-bahan lebihan dan terbuang daripada pasar raya, dan dimasak mengikut resipi ciptaan Bottura dan beberapa chef terkenal lain.
“Saya tidak pernah melihat bahan-bahan ini sebagai sisa.
“Sebaliknya, saya berfikir bahawa serbuk roti, buah tomato yang sudah lembik (terlebih masak), atau pisang yang kulitnya sudah sedikit keperangan, boleh dijadikan sesuatu untuk menunjukkan kreativiti kami,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun bahan yang digunakan itu sudah dianggap 'tidak sesuai' bagi sesetengah restoran, ia tetap masih selamat dimakan.
Bottura memulakan projek itu pada tahun 2015, ketika dia menggunakan semula sisa makanan dari pusat makanan di Ekspo Antarabangsa Milan.
Jelasnya lagi, tidak seperti konsep ‘soup kitchen’, tiada siapa yang perlu beratur, sebaliknya semua makanan itu akan dihidangkan di atas meja.
“Saya namakannya sebagai restoran, bukan soup kitchen,” ujar Bottura.
Menurut statistik Organisasi Makanan dan Agrikultur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira satu per tiga makanan yang dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun, iaitu sekitar 1.3 bilion tan, dibazirkan atau langsung tidak dimanfaatkan.
"Cara anda membantu adalah penting, dan yang lebih utama adalah bagaimana bantuan anda itu boleh mengubah hidup mereka," kata Bottura.