Charlie Hebdo: Tujuh ditahan dalam usaha memburu pembunuh

AFP
Januari 8, 2015 17:09 MYT
Serangan di pejabat penerbitan majalah itu mengorbankan beberapa wartawan dan juga dua anggota polis.
Pihak berkuasa telah menahan seramai tujuh orang dalam usaha memburu dua beradik yang disyaki menembak mati 12 individu dalam serangan di sebuah pejabat penerbitan akhbar satira mingguan, lapor AFP.
Maklumat yang dipetik daripada sumber perundangan itu mengesahkan kenyataan yang terlebih dahulu dibuat Perdana Menteri Manuel Valls.
Valls sebelum ini menyatakan bahawa sekumpulan lelaki dan wanita yang ada hubungan rapat dengan dua suspek tersebut kini disoal siasat polis, tanpa mengatakan bahawa mereka ditahan.
Beliau bagaimanapun, memberitahu bahawa dua suspek yang masih bebas itu memang dalam perhatian pihak berkuasa dan pernah diintip sejak sebelum kejadian serangan itu berlaku.
Kumpulan penyerang yang memakai pakaian serba hitam dan bertopeng itu menyerbu masuk pejabat penerbitan akhbar Charlie Hebdo, membunuh beberapa kartunis dan dua anggota polis, sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
Polis telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Cerif Kouachi, 32, seorang militan yang pernah ditahan pada 2008 kerana terlibat dalam perekrutan anggota pejuang ke Iraq, dan juga adiknya, Said, 34.
Kedua-duanya dilahirkan di Paris.
#Charlie Hebdo #Manuel Valls #militan #Paris #Perancis #serangan