Charlie Hebdo: Belum tentu yang laung Allahuakbar itu Islam - Chandra Muzaffar

Astro Awani
Januari 8, 2015 20:53 MYT
DR CHANDRA MUZAFFAR: Laungan Allahuakhbar bukan bermakna penyerang Charlie Hebdo itu orang Islam.
Serangan ke atas pejabat akhbar satira Charlie Hebdo pada Rabu mungkin didalangi pihak-pihak yang tidak senang dengan keputusan Perancis memberi undi kepada Palestin dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurut Presiden Gerakan Keadilan Sedunia, Dr Chandra Muzaffar, tidak mustahil serangan tersebut dilakukan pihak-pihak yang cuba memanipulasi keputusan yang dibuat Perancis dalam undian tersebut dan sekali gus menyalahkan orang Islam.
Katanya, laungan "Allahuakbar" yang disiarkan dalam video serangan ke atas akhbar mingguan itu bukan bermakna pengganas tersebut adalah orang Islam.
"Dalam kes ini perlu lakukan siasatan yang mendalam dan menyeluruh siapa yang benar-benar bertanggungjawab kerana ada video yang mereka laungkan 'Allahuakbar'. Laung 'Allahuakbar' bukan bermakna mereka orang Islam.
Tambahnya, kemungkinan apa yang berlaku didalangi mereka yang berkepentingan susulan tindakan Perancis mengundi Palestin berhubung kedudukan Palestin dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Adakah pihak-pihak tertentu cuba memanipulasi keadaan ini dan menyalahkan orang Islam padahal mereka mempunyai agenda tertentu," katanya ketika dihubungi Buletin AWANI.
Dr Chandra juga menggesa semua pihak supaya memahami faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya keganasan bukan hanya memberi tumpuan kepada keganasan sebagai satu fenomena.
Katanya, tindakan memihak kepada Israel secara membuta tuli dan provokasi terhadap agama juga membuatkan orang Islam marah.
Namun, tegas beliau, majoriti orang Islam akan menolak tindakan seperti yang dilakukan ke atas pejabat akhbar satira itu.
"Kebanyakan orang Islam memang mengamalkan kesederhanaan dan mereka tidak menyokong apa yang berlaku kepada Charlie Hebdo.
"Sekiranya orang Islam diminta membuat pilihan antara cara yang ganas untuk bertindak balas atau kaedah yang lain, orang Islam akan memilih kaedah lain kerana pembunuhan adalah bertentangan dengan prinsip dan nilai-nilai Islam," katanya lagi.
Rabu lalu, dua individu bersenjata merempuh masuk pejabat Charlie Hebdo di Paris dan menembak mati 12 individu termasuk ketua pengarang Stephane Charbonnier (juga dikenali sebagai Charb) serta kartunis Cabu, Tignous dan Wolinski.
Charlie Hebdo pernah menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW sekali gus memburukkan lagi ketegangan global berhubung filem "The Innocence of Muslims" yang memperlekehkan agama Islam.
#Charlie Hebdo #Dr Chandra Muzaffar
;