Chang'e-5 milik China berjaya mendarat di bulan
Astro Awani
Disember 1, 2020 07:46 MYT
Disember 1, 2020 07:46 MYT
BEIJING: China dilapor berjaya mendaratkan prob penyelidikan angkasa lepasnya Chang'e-5 bagi misi mengumpul dan membawa pulang sampel dari bulan untuk dianalisis.
Kejayaan ini turut menandakan misi China ke bulan berjaya, lapor portal berita Xinhua.
Malah, China bakal menjadi negara ketiga selepas Amerika Syarikat dan bekas negara Soviet yang berjaya membawa pulang sampel dari bulan.
Antara objektif misi eksplorasi kali ini termasuk mengkaji keadaan topografi dan geologi di sekitar lokasi pendaratan, selain melaksanakan penyelidikan makmal secara sistematik terhadap sampel yang dikutip dari bulan.
Pengendali pesawat angkasa perlu melakukan proses penggerudian ke atas permukaan bulan untuk mengumpul sampel dalam beberapa jam.
Sampel berkenaan dijangka dibawa balik ke bumi pada pertengahan bulan ini.
Chang'e-5 dilancarkan dengan roket pembawa Long March-5 dari tapak pelancaran Wenchang di wilayah Hainan pada 24 November lalu.
Pada Januari tahun lepas pula, Chang'e-4 menjadi kapal angkasa pertama negara itu yang mendarat di bulan.
Republik itu turut bercadang untuk menghantar pesawat angkasa dengan manusia.
#China
#Chang'e-5
#Chang'e-4
#Long March-5
#misi ke bulan
#prob penyelidikan angkasa lepas
#penggerudian permukaan bulan