CFO Huawei dibebaskan, perlu pakai pengesan elektronik di kaki
Astro Awani
Disember 12, 2018 14:36 MYT
Disember 12, 2018 14:36 MYT
Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou, akhirnya dibebaskan dengan jaminan ASD7.5 juta sementara menanti permohonan rasmi ekstradisi oleh Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Reuters, Wanzhou diarahkan memakai alat pengesan elektronik di kaki dan perlu berada di rumahnya di Kanada pada jam 11 malam hingga 6 pagi.
Keputusan Hakim Mahkamah Vancouver itu disambut tepukan hadirin dalam kamar serta tangisan Wanzhou yang lantas memeluk peguamnya.
Wanzhou dituduh mengelirukan bank antarabangsa AS untuk melakukan transaksi di Iran sekaligus berisiko menyebabkan bank berkenaan melanggar arahan sekatan ekonomi oleh AS terhadap Iran.
Jika hakim Kanada mendapati wujud kes yang jelas terhadap Wanzhou, Menteri Keadilan Kanada perlu membuat keputusan sama ada mahu mengekstradisi Wanzhou ke AS atau sebaliknya.
Jika ekstradisi berlaku, Wanzhou akan berdepan perbicaraan di AS dengan hukuman maksimum 30 tahun penjara jika sabit kesalahan.
Penahanan Wanzhou menyebabkan ketegangan hubungan dua gergasi ekonomi China dan AS semakin memuncak di sebalik usaha rundingan dagangan baharu yang sedang digerakkan.
China terus mengesa Kanada membebaskan Wanzhou kerana setakat ini Kanada dan AS gagal membuktikan wujud kes jelas terhadap Wanzhou.
Sementara itu Presiden Donald Trump berkata beliau akan campur tangan dalam kes Jabatan Keadilan AS terhadap Wanzhou jika ia berkaitan dengan kepentingan keselamatan negara ataupun jika ia membantu rundingan dagangan dengan China.
Pada Selasa, Kanada mendakwa salah seorang rakyatnya yang merupakan bekas diplomat, Michael Kovrig ditahan di China, namun Kanada berkata ia tiada kaitan dengan kes Wanzhou.
Namun bekas duta Kanada ke China, Guy Saint-Jacques, ketika ditanya sama ada penahanan itu satu kebetulan, beliau berkata “Tiada kebetulan di China, Jika mereka ingin menghantar mesej jelas kepada anda, mereka akan menghantar mesej kepada anda.”
#Amerika Syarikat
#China
#Donald Trump
#ekstradisi
#Huawei
#Kanada
#Meng Wanzhou
#pengesan elektronik
#perang dagangan
#rundingan dagangan
#sekatan ekonomi
#trade war
#Xi Jinping