CES 2022: Syarikat teknologi fokus kelestarian alam sekitar, tangani perubahan iklim

Agensi
Januari 6, 2022 22:48 MYT
Syarikat teknologi ternama dunia memilih untuk menyatakan kepentingan teknologi hijau terhadap masa depan dalam CES 2022. - Twitter/@briantong
LAS VEGAS: Syarikat teknologi ternama dunia memilih untuk menyatakan kepentingan teknologi hijau terhadap masa depan dalam pameran elektronik tahunan terbesar di dunia, Consumer Electronics Show (CES) 2022.
Samsung Electronics mendedahkan visi baharu mereka 'Bersama Untuk Hari Esok' dengan visi merealisasikan masa depan yang lebih mampan.
Visi itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Han Jong-hee dalam ucaptama di CES 2022 di Las Vegas.
"Setiap tahun di CES, kami menunjukkan kepada anda bagaimana teknologi canggih seperti AI, IoT, robotik dan 5G akan membuka kemungkinan baharu untuk orang ramai.
“Sepanjang dua tahun yang lalu, jangkaan kami terhadap teknologi telah berubah. Kami mendapati ada nilai yang lebih besar dalam kebersamaan, lebih dekat dengan rakan, keluarga dan masyarakat. Kami bukan sahaja mahukan produk yang berkualiti tetapi juga planet yang lebih baik dan lebih sihat," katanya.
E-waste merupakan satu lagi cabaran besar untuk industri elektronik, dengan Samsung sendiri menghasilkan lebih lima juta tan e-waste sejak 2009.
Justeru, tahun lalu, Samsung melancarkan Galaxy for the Planet, platform kelestarian yang dicipta bagi meminimumkan impak peranti terhadap alam sekitar sepanjang kitaran hayatnya.
“Ini adalah langkah penting, kerana kami tidak mampu melakukannya bersendirian. Kami percaya inovasi dan kerjasama terbuka adalah kunci untuk menangani perubahan iklim dan melindungi alam sekitar," tambah Han.
Turut berkongsi azam yang sama ialah Schneider Electric, peneraju dalam transformasi digital dan pengurusan tenaga serta automasi.
"Tahun lepas menyaksikan lebih banyak tekanan di rumah. Tidak mengejutkan orang ramai kini bukan sahaja sanggup tetapi bersedia, untuk menyahut cabaran perubahan iklim," kata YiFu Qi, Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Rumah dan Pengedaran di Schneider Electric.
Tambahnya, inovasi terkini dalam teknologi Rumah Pintar merupakan sebahagian daripada komitmen mereka bagi menangani permintaan yang semakin meningkat dalam penyelesaian tenaga yang berdaya tahan dan mampan.
#alam sekitar #perubahan iklim #teknologi hijau #Consumer Electronics Show
;