CES 2022: Sukar pilih warna kenderaan idaman? BMW hasilkan kereta boleh tukar warna

Agensi
Januari 7, 2022 22:20 MYT
BMW baru-baru ini membuat kejutan dengan mempamerkan teknologi cat yang boleh berubah warna sewaktu Pameran Elektronik Tahunan Terbesar Di Dunia, Consumer Electronics Show (CES) 2022 di Las Vegas, AS. - Foto: Instagram/@bmw
JIKA anda pernah berasa ragu-ragu tentang warna kenderaan yang ingin dibeli, syarikat pengeluar kereta Jerman, BMW mungkin ada penyelasaian tersebut.
BMW baru-baru ini membuat kejutan dengan mempamerkan teknologi cat yang boleh berubah warna sewaktu Pameran Elektronik Tahunan Terbesar Di Dunia, Consumer Electronics Show (CES) 2022 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Bergantung kepada kecanggihan teknologi E Ink, kertas elektronik yang digunakan pada peranti pembacaan elektronik atau e-reader (Kindle) itu boleh mengubah cat pada badan SUV konsep BMW iX Flow yang mempunyai kuasa elektrik sepenuhnya.
Namun, inovasi ini tidaklah membolehkan kereta tersebut boleh berubah kepada warna apa sahaja yang diinginkan kerana ia hanya mempunyai pilihan warna putih, hitam dan kelabu.
BACA: CES 2022: Syarikat teknologi fokus kelestarian alam sekitar, tangani perubahan iklim
Menurut BMW, warna yang boleh berubah dalam sekelip mata ini bukan hanya sebagai hiasan semata-mata, tetapi ia juga sebenarnya ada memainkan peranan dari segi penggunaan yang efisien.
Misalnya pada cuaca panas, BMW iX Flow ini boleh bertukar kepada warna putih bagi mengurangkan serapan haba oleh badan kereta, dan ini secara tidak langsung boleh mengurangkan beban terhadap sistem pendingin hawa.
Ketika cuaca sejuk pula, badan kereta boleh bertukar kepada warna hitam bagi menyerap haba sebanyak yang boleh bagi mengurangkan penggunaan tenaga untuk sistem pemanas.
Dengan idea luar biasa ini, banyak penjimatan elektrik dapat disaksikan dan secara tidak langsung membolehkan BMW iX Flow bergerak dalam jarak yang lebih jauh dengan satu cas bateri penuh, sekali gus menjadikan alam sekitar lebih terpelihara.
Tetapi hakikatnya, BMW memaklumkan, teknologi ini pastinya tidak akan berada di dalam pasaran dalam masa terdekat memandangkan ia masih lagi dalam tempoh penyelidikan dan memerlukan proses reka bentuk yang lebih terperinci.
Namun, syarikat pengeluar dari Jerman ini percaya ia adalah sesuatu yang realistik kerana E Ink bukanlah bahan yang rumit tetapi mungkin harganya sahaja yang kurang realistik.
#BMW #cuaca panas #Las Vegas #Jerman #SUV #bertukar warna #CES 2022 #Consumer Electronics Show
;