CES 2019: IBM lancar prototaip 'sensor kuku' bantu pesakit kencing manis

Ibrahim Sani
Januari 9, 2019 00:21 MYT
Selain prototaip 'sensor kuku', IBM turut melancarkan beberapa produk baru yang berteraskan 'Kecerdasan Buatan' pada CES 2019 di Las Vegas, Amerika Syarikat, 8 Jan, 2019. Astro AWANI/IBRAHIM SANI
Syarikat teknologi IBM pada Selasa mengumumkan beberapa inisiatif baru dalam bidang rawatan dan perubatan, termasuk alat bagi membantu pesakit Parkinson dan penghidap kencing manis.
Bahagian Penyelidikan syarikat itu, IBM Research, memperkenalkan prototaip 'sensor kuku' pertama, yang boleh mengubah cara menggunakan data klinikal, dengan menggabungkan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) dan mesin.
"Sensor itu mengukur bagaimana kuku membengkok dan bergerak secara berterusan sepanjang hari untuk menunjukkan kekuatan cengkaman, iaitu penanda biologi utama untuk kesihatan.
"Dengan terus mengumpul data dan memasukkannya ke dalam algoritma AI, sensor itu dapat memberikan gambaran yang lebih tepat berhubung kekuatan cengkaman dan pergerakan seorang pesakit dari masa ke masa.
"Ini akan membolehkan doktor memberikan cadangan rawatan yang lebih khusus untuk pelbagai keadaan, dari penyakit Parkinson hingga kepada penyakit kardiovaskular," kata IBM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Pameran Pengguna Elektronik (CES) 2019 di sini.
Pada masa sama, IBM Research turut bekerjasama dengan The Michael J. Fox Foundation untuk memperkenalkan satu inisiatif baru bagi lebih memahami penyakit Parkinson.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan Medtronic untuk melancarkan satu alat baru yang boleh membantu penghidap kencing manis meramalkan dengan lebih tepat kemungkinan akan terjadi peristiwa glukosa rendah dalam masa 1 hingga 4 jam akan datang.
Terdahulu, Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IBM, Ginni Rometty menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan CES 2019.
Dalam ucapannya, Rometty menunjukkan bagaimana teknologi seperti kecerdasan buatan, blok rantaian dan awan membentuk semula dunia perniagaan, dan seterusnya, kehidupan seharian kita.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk melancarkan beberapa produk dan perkhidmatan baharu dari IBM.
Buat pertama kalinya, Astro AWANI memberi liputan secara langsung di CES 2019 di Las Vegas. Ikuti segala perkembangan CES 2019 bersama Editor Bisnes Astro AWANI melalui laman sosial beliau @ibrahimsaninet
#AI #ces 2019 #Ginni Rometty #IBM #IBM Research #inisiatif baru #kardiovaskular #kecerdasan buatan #kencing manis #kesihatan #Las Vegas #Michael J Fox Foundation #Pameran Pengguna Elektronik #Parkinson #sensor kuku #teknologi