Ceritalah USA: Masyarakat Afrika-Amerika dan peralihan kepada Trump

Karim Raslan
November 24, 2016 16:51 MYT
Andy Russell, seorang editor filem yang tampan dan gemar bermain cello, jelas kecewa dengan pemilihan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu. - Foto Karim Raslan
ORANG ramai yang berada di Muzium Negara Sejarah dan Kebudayaan Etnik Afrika-Amerika yang baru dibuka kebanyakkannya terdiri daripada golongan berkulit hitam – satu perubahan yang ketara jika dibandingkan dengan komposisi hadirin rapat umum anjuran Trump di Grand Rapids, Michigan.
Di dalam bangunan anggun keperangan, suasana tegang dan sunyi, menandakan hormat. Keluarga-keluarga berkumpul di hadapan bekas-bekas gelas dan tayangan video, melihat peralatan yang digunakan untuk perhambaan: belenggu yang karat, gambar kapal-kapal perhambaan yang ngeri dan perjalanan merentas Afrika Barat.
Namun, sejarah gelap ini tidak kekal suram selamanya. Terdapat saat-saat perjuangan yang benar-benar memberi inspirasi dan harapan – individu yang mencurahkan tenaga untuk memperjuangkan hak kemanusiaan dengan berani walaupun dibelenggu perhambaan dan penindasan sehingga tercetusnya gerakan Hak Sivil oleh Martin Luther King, wujudnya budaya Motown, dan juga pelantikan Obama sebagai presiden.
Pentadbiran presiden berkulit hitam yang pertama Amerika Syarikat sudah sampai di penghujungnya dan Donald Trump akan mengambil alih pucuk pemerintahan, membuatkan ramai dalam masyarakat etnik Afrika-Amerika resah.
Andy Russell, seorang editor filem yang tampan dan gemar bermain cello, jelas kecewa: “Saya 100 peratus pasti Hillary akan menang. Semua kaji selidik dan pemerhati politik mengatakan beliau akan muncul sebagai pemenang.”
“Apabila keputusan pilihan raya menjadi jelas, saya langsung tidak percaya. Kita mengingini seorang presiden yang berwibawa – mempunyai sifat-sifat tertentu. Lelaki ini adalah seorang selebriti TV yang bermulut celupar dan kaki perempuan."
Ceritalah USA: Lawrencia Atakora bosan persepsi ke atas kelompok minoriti
Ceritalah USA: Alyiah Al Bonjim
Ceritalah USA: Zachary Shinske, si anak kampung
Dia risau memikirkan bahawa negaranya akan dipimpin oleh seorang yang telah memenuhi ruang wacana dengan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman selama dua tahun.
Sementara itu, gerakan #BlackLivesMatter telah membawa perhatian media kepada kekerasan polis. Dia mengakui dengan kecewa bahawa “keadaan tidak begitu hebat sepanjang pentadbiran Presiden Obama, tetapi kita rasa lebih stabil. Obama mampu untuk menjadi pemimpin yang cemerlang, namun Kongres telah menghalang beliau.”
Sebagai seorang cahaya mata kepada paderi berpangkat tinggi dalam Gereja Seventh Day Adventist, keghairahan Andy diimbangkan dengan sikap disiplin yang tinggi kerana dia menjauhi alkohol dan rokok.
Ceritalah USA: Ketika China bertambah kuat, Amerika semakin lemah: Kisah dua kuasa besar
Ceritalah USA: Menjadi warga Texas - Giovanni Vidana
Ceritalah USA: Industri teknologi perlu dimensi kemanusiaan
Lahir di Cleveland, Ohio tetapi membesar di pelbagai lokasi di seluruh negara, dia mempunyai keyakinan seseorang yang mempunyai kedua ibu bapa yang disegani oleh masyarakat.
Namun, dia sedar sebagai seseorang yang berkulit hitam, masyarakat memandangnya serong.
“Saya harus memakai sut ke kerja untuk diambil serius. Saya harus peka akan segalanya – dari cara saya bertutur, postur saya, dan penampilan saya. Walaupun saya mempunyai segulung ijazah dan sedang menuntut di sekolah Seni, keadaan masih sukar.”
“Ketakutan angkara hubungan antara kaum yang semakin merosot di bawah pimpinan Trump adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian. Mereka yang menyuarakan cemuhan dan tomahan kini semakin berani. Apakah yang akan terjadi kepada negara ini? Agak gemuruh saya memikirkannya.”
Namun, kaji selidik menunjukkan bahawa masyarakat kaum Afrika-Amerika tidak mengundi Hillary Clinton dalam jumlah yang disangkakan.
Sememangnya, ada juga yang mengatakan bahawa kemenangan Trump sepanjang Barat Tengah boleh dielakkan sekiranya sokongan daripada masyarakat Afrika-Amerika lebih padu.
Meskipun latar belakang keluarga baik dan dia mempunyai karier yang bagus, Andy tidak mampu melarikan diri daripada prejudis yang sudah terjalin dalam fabrik masyarakat Amerika.
Contohnya, apabila saya mengatakan bahawa dia cekap mengutarakan pendapatnya, dia menjawab: “Saya benci apabila seseorang mengatakan saya cekap mengutarakan pendapat. Saya tidak menganggapnya sebagai pujian kerana pada saya, itu bermaksud kamu lihat saya, membentuk sebuah pra-sangka mengenai saya dan saya menyangkal sangkaan itu.”
Ceritalah USA: Filipino Amerika sebagai kuasa baru
Ceritalah USA: Quinn Dang: Menjadi Orang Amerika
Andy mengimbau kembali apabila dia telah berselisih dengan undang-undang, mengakibatkan parut yang dalam. Dia telah ditahan disebabkan masalah teknikal berkenaan lesen pemandu yang telah tergantung, lantas terpaksa meringkuk di dalam lokap selama beberapa hari dan kemudian harus membayar AS$200,000 wang jaminan bagi kesalahan kecil. Nasib akhirnya menyebelahi dia kerana ibu bapanya mampu untuk membantunya, namun insiden tersebut (yang nyaris meragut pekerjaannya) telah membuatkan dia serik kerana telah terasa kesan prejudis kaum.
“Saya jangka hubungan antara kaum tidak akan menjadi lebih baik dalam masa terdekat,” jelas Andy.
“Keadaan akan lebih merosot sebelum kembali pulih. Tambahan pula, institusi-institusi di negara ini tidak menyebelahi kami.”
Kenyataan ini sejajar dengan hasil kaji selidik Pew Research Centre yang mendapati bahawa hampir separuh pengundi A.S. (46 peratus) menjangkakan kemenangan Trump akan mengundang kemerosotan hubungan antara kaum, manakala hanya 25 peratus mengatakan keadaan akan menjadi lebih baik.
Ini perbezaan yang ketara dengan keadaan setelah kemenangan Obama lapan tahun lalu. 52 peratus pengundi mengatakan hubungan antara kaum akan bertambah baik manakala hanya 9 peratus mengatakan keadaan akan merosot.
Dalam kaji selidik yang sama, hasil menunjukkan lebih kurang tiga suku masyarakat etnik Afrika-America (74 peratus) menjangkakan hubungan antara kaum akan merosok di bawah kepimpinan Trump.
Pada tahun 2008, pandangan ini hampir bertentangan sepenuhnya: 75 peratus pengundi masyarakat etnik Afrika-Amerika mengatakan kemenangan Obama akan menjurus kepada penambahbaikkan hubungan antara kaum.
Apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap president etnik Afrika-Amerika pertama Amerika Syarikat, Andy mengatakan “Obama cool, rendah diri dan sebagai bekas pensyarah undang-undang perlembagaan, beliau menjelaskan polisinya dengan bagus.”
Paling utama, pentadbiran Obama mengambil berat tentang isu ketelusan. “Melihat keluarga berkulit hitam di dalam White House yang dibina oleh hamba membuatkan kami berasa bangga seolah-olah kami sendiri yang membinanya.”
Kepimpinan Trump kian menjelang, membuatkan ramai yang mengimbau kembali kepada zaman kepimpinan Obama dan memikirkan bahawa itu mungkin suatu “kemenangan palsu” buat masyarakat mereka.
#Andy Russell #Ceritalah USA #Etnik Afrika-Amerika #Karim Raslan
;