Ceritalah USA - Alyiah Al Bonjim
Karim Raslan
November 17, 2016 15:39 MYT
November 17, 2016 15:39 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat yang dipilih, Donald Trump telah membuat banyak komen celupar tentang pendatang dan minoriti. Beliau menuduh komuniti Mexico sebagai "penjenayah, pengedar dadah dan perogol".
Dalam satu rapat umum di Charleston, South Carolina pada Disember 2015, hanya beberapa hari selepas kejadian tembak San Bernardino yang melibatkan sepasang Muslim, beliau memberitahu ribuan penyokongnya: "Donald J. Trump mendesak sekatan menyeluruh dan sepenuhnya ke atas orang Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat sehingga wakil-wakil rakyat kita dapat memahami apa sebenarnya yang sedang terjadi."
Komentar-komentarnya itu mencetuskan kegelisahan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat terbanyak Muslim Amerika. Pusat kaji selidik, Pew Research Center menganggarkan terdapat sebanyak 3.3 juta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang beragama Islam pada tahun 2015. Ini bermaksud 1 peratus daripada jumlah penduduk AS merupakan masyarakat Muslim Amerika. Tambahan pula, menjelang 2050, jumlah ini dianggarkan akan menjadi dua kali lebih besar.
Alyiah Al-Bonijim, pelajar di University Michigan; umurnya 19 tahun. Tubuhnya tinggi dan ramping, dan dia bertudung. Suara dan malah matanya menunjukkan sosok wanita yang lebih berusia. Ada sedikit getar gementar tatkala dia mengutil hujung jari-jarinya dan memintal baju blausnya. Walaupun baru masuk tahun kedua, tutur bahasa Alyiah agak kompleks, penuh pemerhatian yang halur dan selebihnya, sarat dengan rujukan kepada Edward Said dan tokoh-tokoh lain.
"Saya masih terkejut. Amerika adalah Amerika. Sistem negara ada proses semak dan imbang tetapi dengan Republikan menguasai kedua-dua dewan di Kongres, ada banyak sebenarnya yang boleh beliau buat. Maksud saya, hari ini ada berita tentang Muslim yang akan kena daftar.
"Semua orang takut. Tak ada orang yang tahu bagaimana nak beri reaksi. Saya fikir tidak mustahil untuk jadi seorang Muslim dan Amerika. Dan kalau dicarikan contoh barangkali komuniti kulit hitam dan Barack Obama: kalau mereka boleh lakukannya, saya kira semua orang boleh
"Bagi saya, beliau seorang yang teruk. Tetapi saya tidak fikir ancaman itu ada padanya. Ia ada pada para penyokongnya. Mereka selalu berpandangan perkauman tetapi sekarang mereka ada seseorang yang berkuasa, mereka yakin untuk jadi perkauman. Sekarang sudah makin melampau."
Ditanya tentang tudung, dia menjawab dengan sopan tetapi tegas: "Dek kesan imperialisme dan kolonialisme yang mendalam di seluruh dunia Arab, memakai tudung itu sendiri adalah satu tindakan revolusi."
Alyiah lahir di Dearborn, sebuah bandar yang boleh dikatakan bandar orang Arab Muslim, terletak lebih kurang setengah jam dari pusat bandar Detroit. Keluarganya pelarian Syiah Iraq yang datang ke Amerika pada 1997.
"Saya anak bongsu daripada empat beradik. Saya satu-satunya yang lahir di Amerika. Datuk saya ketua puak Al-Bonijim. Keluarga kami dulu tinggal di Nassyriah. Kata ibu, tempatnya sangat cantik.
"Tetapi Saddam bencikan kami kerana kami Syiah. Dia keringkan tanah kami. Pada awal 90-an, kami disenarai hitam dan diusir dari Iraq. Keluarga saya tercampak di kem pelarian di Arab Saudi selama tujuh tahun sebelum dipindahkan oleh Palang Merah ke Amerika. Saya berterima kasih pada Palang Merah. Mereka malah memberi semangat kepada saya untuk melakukan sesuatu dalam khidmat antarabangsa dan penempatan semula pelarian.
"Separuh daripada keluarga kami ditempatkan semula ke Australia. Kami dihantar ke Amerika, mula-mula di Utah tetapi ibu dan kakak dapat tahu tentang Dearborn jadi kami pindah ke sini."
Selain jadi ibu pejabat dunia bagi Ford Motor Co., Dearborn yang mempunyai antara 30 hingga 40 peratus penduduk Muslim merupakan wilayah paling ramai penduduk Muslim di Amerika Utara.
Memandu di sekitar bandar ini memberikan pengalaman yang agak surreal: melintas deretan kedai dengan tanda halal, kedai ogah dan kedai roti Lubnan dengan papan tanda bertulis Arab.
Rata-rata penduduk Dearborn Syiah tetapi Alyiah menegaskan dia ada banyak kawan baik daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, sambil menambah bahawa perbezaan budaya itu sangat mustahak.
"Orang Lubnan bercakap Arab dengan lemah lembut manakala orang Yaman laju dan orang Iraq pula kasar dan agresif. Kami selalu berjenaka orang Lubnan itu mengada."
Alyiah mengaku ayahnya yang jarang ada di rumah dan selalu seperti bayang-bayang menjadikan ibunya tertekan untuk membesarkan mereka empat beradik.
"Kami sering berpindah-randah. Kami bermula di sebuah apartmen besar dengan lima keluarga disumbat semuanya tetapi syukur kami kini lebih selesa.
"Abang saya malangnya terpaksa keluar daripada University Michigan dan dua lagi sedang menunggu untuk menyambung pengajian kelayakan professional. Saya tahu saya sangat beruntung."
Sememangnya, Alyiah merupakan seorang wanita yang cerdik dan gigih bersusaha. Malah kebanyakan rakan sekaumnya tidak menggunakan peluang yang ada pada diri mereka sepertimana Alyiah – yang menggunakan peluang beliau dengan penuh kegigihan: "Saya berpeluang untuk belajar di luar negara di Maghribi dan Israel serta Palestin. Ini agak luar biasa kerana saya baru pelajar tahun ke-dua. Saya terlalu bersemangat!"
Seperti wanita Muslim lain, beliau sedar akan pentingnya pendidikan: "Itu adalah satu-satunya cara untuk mendedahkan diri kepada persekitaran yang lebih terbuka. Dearborn adalah tempat yang bagus tetapi saya mahu melalui pengalaman yang baru dan berbeza."
Di penghujung pertemuan kami, saya menanyakan apakah perasaan beliau mengenai kemenangan Trump: "Saya berharap gembar gembur ini akan berakhir. Kalau tidak pun, saya yakin segalanya akan menjadi baik sahaja kerana saya hidup dikalangan komuniti yang kukuh. Asalkan komuniti kita memberi sokongan moral, semuanya akan tenteram."