Ceritalah Modi: Apa yang ada untuk saya?

Karim Raslan
April 15, 2019 20:13 MYT
140 juta daripada 900 juta pengundi yang layak mengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka 11 April lalu. Ia merupakan fasa pertama pengundian dalam pilihan raya India. - AFP/Ceritalah
KOMPARTMEN Kelas Umum - paling murah - sudah penuh dan Pasukan Ceritalah terpaksa bertenggek di atas apa yang sepatutnya merupakan rak-rak simpanan barang (dan ia terletak betul-betul di bawah tempat duduk biasa). Ia merupakan kereta api ekspres dari Hyderabad ke Chennai. Haba musim panas (lebih 40C) menyelubungi dataran Decca. Tiket - hanya INR225 - secara perbandingannya adalah murah. Sungguhpun begitu, ia tetap suatu perjalanan 15 jam - dua jam lebih lama daripada apa yang dijadualkan.
Pilihan raya India merupakan marathon lima minggu. Peringkat pertama proses yang memenatkan itu sudah bermula dan pengundian sedang berlangsung. Negeri-negeri selatan, Telangana dan Andhra Pradesh - hanya baru-baru ini terbahagi di antara satu sama lain - sarat dengan cakap-cakap politik. Gerabak kereta api itu penuh kelam-kabut. Lagipun, dengan susunan tempat duduk yang menyesakkan, tidak ada sesiapa yang boleh tidur.
Terdapat perbualan rancak di kalangan beberapa lelaki yang duduk di rak-rak barang - dua pekedai, seorang kakitangan kerajaan, seorang pekerja IT dan seorang buruh kasar. Setiap orang bersetuju bahawa Hyderabad lebih membangun daripada Chennai. Mereka kagum dengan hentian bas berhawa dingin yang baharu di bandar raya itu.
Ketika perbincangan itu menjadi lebih meluas, perbincangan mengenai kecenderongan politik yang malah mendedahkan bagaimana mereka mengundi, buruh berkenaan, seorang tukang batu dari Vijayawada dan jelas merupakan yang paling miskin dalam kumpulan itu, bersuara: "Saya mengundi untuk Modi."
Apabila ditanya mengapa, beliau terus menjelaskan, "di bawah Kongres, kacang-kacang (beliau menggunakan perkataan Telugu 'pappu') berharga INR120 sedangkan sekarang ia hanya berharga INR80." Menyedari keadaan beliau yang lebih susah, tidak ada sesiapa mempersoalkannya dengan lebih lanjut, sebaliknya hanya berdiam diri!
Ketika mana golongan-golongan yang banyak bersuara itu menganggap pilihan raya yang akan datang itu merupakan sebahagian daripada pergelutan antara wawasan-wawasan yang bertentangan terhadap republik itu - dengan di satu pihak ialah BJP dan agenda Hindutva yang lantang dan semakin bersikap anti-demokratik, sementara di satu pihak lagi ialah impian sosialis sekular keluarga Gandhi-Nehru - bagi kebanyakan orang, persoalannya adalah terhadap perkara yang perlu diberi perhatian segera: kesemuanya adalah mengenai pekerjaan, harga dan perkhidmatan asas kerajaan. Malah, politik pilihan raya di seluruh dunia pada asasnya bermaksud: 'Apakah yang ada untuk saya?'
Dan dalam hal ini, BJP pimpinan Narendra Modi adalah begitu dinamik dan benar-benar berjaya lima tahun dahulu apabila partinya memenangi 282 kerusi dengan majoriti jelas di Lok Sabha. Sebagai arkitek 'keajaiban' Gujarat, beliau memperoleh kuasa dengan menjanjikan ketiga-tiganya (pekerjaan, harga rendah dan perkhidmatan kerajaan) setelah satu dekad kepimpinan Kongres yang lembab dan penuh korupsi. Kod mudah baginya adalah 'ache din'. Hari-hari yang lebih baik akan tiba.
Malangnya, kenyataannya tidak begitu indah. Sebaliknya, pengangguran telah meningkat tanpa dapat disekat, mencapai paras paling tinggi dalam 45 tahun, iaitu 6.1 peratus. Malah, statistik telah menjadikan medan pertembungan yang sengit dipertandingkan dengan data yang memalukan (sekurang-kurangnya bagi yang mempertahankan jawatan) telah didakwa disembunyikan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Malah IMF, melalui Gita Gopinath, Ketua Ahli Ekonomi telah mempersoalkan integriti sumber-sumber maklumat India itu. Ternyata, keluhan yang sentiasa diluahkan di kalangan rakyat jelata terhadap pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang tidak baik kelihatannya menunjukkan ketidakyakinan pihak antarabangsa.
Malah, keperitan itu lebih teruk di kawasan luar bandar di mana dua pertiga daripada penduduk tinggal dan di mana kira-kira 84 peratus pekerjaan hilang. Deflasi - harga jualan tanaman seperti pappu, yang dirujuk oleh penumpang kereta api yang miskin itu - telah meruntuhkan pendapatan pertanian, hingga membawa kepada kesusahan yang meluas.
Lagipun, memandangkan bahawa 10 ke 12 juta orang muda membanjiri pasaran pekerjaan setiap tahun, seseorang boleh hanya membayangkan tahap rasa tidak puas hati.
Satu perkara yang perlu diperjelaskan ialah statistik ini mengambil kira sektor formal negara sementara tidak mempedulikan sektor tidak formal -- yang mana banyak telah tidak ada pekerjaan, terutama setelah berlaku dasar demonetisasi. Tinjauan terkini oleh Pertubuhan Pembuat Seluruh India mendedahkan bahawa ekonomi sedang bergelut. Tinjauan itu memaparkan bilangan pekerjaan dalam perusahaan mikro dan kecil yang telah merosot kira-kira sepertiga sejak 2014. Dalam perusahaan berskala sederhana, kira-kira sesuku pekerjaan telah hilang, dan di kalangan pedagang, kemerosotannya adalah lebih 40 peratus.
Di suatu sudut terpencil di kota lama Hyderabad, ada sebuah kedai Falooda dan Lassi yang terkenal, Matwale Doodh Ghar. Matwale, pemiliknya, mengeluh bahawa kos telah meningkat dengan banyak. Kota lama itu adalah bersejarah tetapi ia sektor yang mundur dalam hab IT. Dalam kehangatan musim panas ini, minuman yogurt adalah cara murah untuk menghilangkan dahaga.
Matwale adalah mangsa di medan depan kepada pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan oleh BJP. GST bertujuan untuk meringkaskan cukai dan ia berbeza di antara negeri dan menambahkan kemudahan untuk perniagaan. Sistem baharu itu bagaimanapun, adalah selegap seperti mana sistem sebelum ini. Ia mempunyai kadar yang tidak menentu untuk pelbagai produk dan telah menghancurkan sektor yang tidak terurus itu. Beliau berkata, 'adalah mustahil untuk memindahkan kesemua kenaikan kos kepada pelanggan. Walaupun saya memperoleh ribuan pelanggan setiap hari, kenaikan harga akan membuatkan pelanggan saya lari.'
Kekecewaan beliau terutamanya ditujukan pada kerajaan pusat dengan dasar-dasarnya. Kos tinggi juga adalah sebab beliau memilih untuk menghantar anak lelaki sulungnya ke China untuk belajar perubatan.
Pengumuman pada waktu malam mengenai demonetisasi (menyingkirkan 86.5 peratus daripada mata wang India) pada November 2016 dan pelaksanaan GST pada pertengahan 2017 bertujuan untuk membuktikan keupayaan pentadbiran pimpinan BJP itu. Sebaliknya apa yang pasukan Ceritalah lihat di kalangan rakyat ialah kekecewaan. Para petani membunuh diri, pengangguran besar-besaran dan migrasi akibat daripadanya, serta pedagang yang bergelut untuk hidup.
Adakah keadaan ini bermakna mereka mengundi untuk BJP, Kongres Kebangsaan India atau parti-parti pembangkang wilayah merupakan persoalan yang tergantung di sana. Ia merupakan persoalan yang berlegar di sekitar antara rak-rak barangan di kereta api itu. Persoalan 'apakah yang ada untuk saya', adalah tidak mudah untuk dijawab. Pada masa ini bagi orang India biasa, tidak seperti mana dalam kempen publisiti kejut-dan-kagum oleh Modi dalam tahun 2014. Magik Modi yang dijanjikan pada tahun 2014 kelihatannya telah hilang daripada pandangan.

* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#BJP #Ceritalah #demonetisasi #India #Karim Raslan #kerajaan #Kolumnis AWANI #Narendra Modi #pembangkang #pilihan raya
;