Ceritalah: Di sebalik bahagia abadi Bollywood
Karim Raslan
Oktober 31, 2019 08:35 MYT
Oktober 31, 2019 08:35 MYT
TANYA PUROHIT yang berusia 30 tahun kelihatan seperti seorang teraju wanita utama: kurus, cantik dan
berkulit cerah. Namun apa yang menjadikannya istimewa ialah kecerdikannya, kemesraannya dan kebolehannya berjenaka pintar.
Bermula sebagai juru promosi di sebuah saluran beli-belah televisyen berpangkalan di Delhi dan
kemudian berpindah ke sebuah rangkaian penyiaran sukan Mumbai, jelitawan kelahiran Uttarakhand itu terus mendalami industri media dan hiburan yang besar di Mumbai.
Andheri - bandar pinggiran kota yang bertanah rendah, dan memiliki pantai serta berhampiran lapangan terbang Santa Cruz di Mumbai, adalah pusat utamanya.
Di tengah-tengah barisan blok apartmen aras tinggi dan berselang taburan banglo 1960-an yang kini diubah menjadi pusat agensi lakonan, syarikat-syarikat produksi, ruang-ruang persembahan alternatif dan kafe; para profesional industri berebut untuk mendapatkan kerja, jaringan perhubungan dan perkembangan kerjaya.
Tetapi, dalam negara India yang rakyatnya menutur pelbagai bahasa, terdapat juga hab-hab hiburan yang lain; termasuk "Tollywood" dan "Kollywood" -- industri perfileman bahasa Telugu dan Tamil berpangkalan masing-masing di Hyderabad dan Chennai.
Perfileman adalah industri yang besar. Ia juga adalah suatu industri global dan berkemungkinan eksport India yang paling berjaya.
Sebagai contoh, filem aksi gusti pecah panggung dalam bahasa Hindi keluaran 2016, Dangal (dibintangi oleh Aamir Khan) memperoleh pendapatan lebih AS$216 juta di luar India saja.
Televisyen juga meledak dengan lebih 900 saluran dan terus berkembang. Lagipun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, perkhidmatan penstriman telah dilancarkan.
Sacred Games yang ditayangkan di Netflix (kini pada musim keduanya) telah dibikin dengan bajet AS$14
juta -- pelaburan paling besar pernah dilakukan dalam suatu produksi India. Malah, dianggarkan bahawa dua per tiga penonton siri ini adalah dari luar negara.
570 juta pengguna internet India adalah suatu habuan menarik. Menurut laporan Boston Consulting Group (BCG) baru-baru ini mencatat bahawa industri OTT di India dijangka berkembang pada 27 peratus, mencapai saiz pasaran yang tidak disangka iaitu sebanyak AS$5 bilion pada 2023. Menurut KPMG, keseluruhan industri M&E India patut mencapai pendapatan AS$23 bilion dalam tahun fiskal 2019.
Di sebalik angka yang mengejutkan, gemerlapan dan glamor itu, adalah orang seperti Tanya.
Mereka adalah roda kecil yang menggerakkan industri. Dan kini dia menghabiskan lebih banyak masa berlakon – yang menjadi cinta pertamanya.
Bagaimanapun, latar belakang kerjaya televisyen Tanya bermakna bahawa dia sekurang-kurangnya mempunyai satu sumber pendapatan tetap, tidak seperti mereka yang hanya berharap dapat memecah masuk ke dunia perfileman.
Perkara ini, ditambah dengan kecekapan etika kerjanya yang membolehkan Tanya mengimbangi komitmen layar kecil dengan siri web Project Tank Man, selain satu peranan kecil dalam instalmen ketiga francais Commando.
Selain daripada uji bakat bagi episod seterusnya, Tanya kini bekerja untuk sebuah saluran TV Bollywood, dengan mengacarakan berita. Beliau juga membantu pelajar di Sekolah Drama Kebangsaan merangka dan menstruktur drama. Di samping itu, Tanya bekerja bebas dengan stesen sukan, dengan menyampaikan analisis berita dan acara, dari kriket hinggalah ke gusti profesional.
Meskipun begitu, dapat memasuki industri filem adalah puncak habuan dan dari satu segi, kelihatan cantik adalah suatu kemestian. Tanya ketawa sambil menerangkan: "Yang lelaki perlu memiliki tubuh enam ‘ketul’ otot -- mereka hanya boleh makan protein, ayam dan telur putih! Dan kami (wanita) kena berlakon bersama mereka, maka kami juga mesti kurus."
"Jika tidak, ada seseorang lain akan sentiasa datang dan merampasnya dari anda. Saya tahu saya bagus
dalam pekerjaan saya, tetapi saya tidak dapat membiarkannya terlepas hanya kerana ada seseorang yang lain kelihatan lebih cantik daripada saya."
Jadual Tanya terlalu padat hinggakan dia selalunya hanya dapat beriadah pada lewat malam, dengan berjoging di jalanan Andheri yang sibuk pada jam 1 pagi.
Tanya menambah; "Mumbai bukannya Delhi, ia adalah selamat." Tambahan lagi, apabila suaminya Deepak, seorang pembaca berita, sangat menyokong cita-citanya.
Walaupun demikian, berada dalam industri Bollywood membuatkan dia sedar bahawa perniagaan hiburan
adalah suatu persaingan dahsyat. Malah, kehidupan seorang pelakon di Mumbai adalah sesuatu yang mencabar, terutama dalam hal mengurus kewangan seseorang.
Sepertiga gaji Tanya dibelanjakan untuk bayaran sewa. Dia juga mesti membayar harga pakaian dan alat solek sendiri ketika penggambaran. Dia tidak boleh mengulang pakaian yang sama.
Bagaimanapun, Bollywood telah berevolusi - melangkaui babak potongan dramatik klise dan sarat dengan lagu. Baru-baru ini filem genre politik Article 15 menarik perhatian orang ramai. Dalam sebuah negara yang mana kasta dan agama mencetuskan berdebatan hangat (dan malah kekerasan), hakikatnya topik-topik ini terus ditayang di layar perak --- yang seharusnya merupakan bentuk tertinggi eskapisme -- mendedahkan banyak perkara.
Setelah menyatakan semua itu, perlu ditegaskan bahawa Bollywood BUKAN Hollywood. Tidak seperti
industri yang sama di Amerika Utara, industri filem Mumbai dan bintangnya beroperasi dalam orbit Delhi. Narendra Modi yang semakin autokratik adalah suatu kehadiran yang berkuasa.
Malah perkhidmatan penstriman mungkin tidak kebal daripada pandangan khalayak konservatif. Umpamanya, adegan dari Sacred Games telah menerima aduan dari parti BJP yang memerintah kerana didakwa telah menghina komuniti Sikh.
Begitupun, ketika industri itu terus berkembang -- begitu juga dengan orang yang mengharap
dapat meraih keuntungan besar daripadanya.
Tanya berkata bahawa, secara purata, sekurang-kurangnya 100 orang telah menjalani uji bakat untuk
bahagian tertentu dalam mana-mana filem. Secara umumnya, dia mempunyai kadar panggilan semula sebanyak 25 peratus.
Bagi puluhan ribu yang mengharapkan untuk menjadi Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai, bakat dan rupa
baik adalah minimum asas -- dan malah perkara itupun tidak mencukupi pada kebanyakan masa.
Menurut Tanya, kesemua itu akhirnya bersandarkan pada nasib dan jujurnya, sama ada ciri-ciri fizikal anda menepati peranan yang diiklankan.
Tetapi dengan kesungguhan seperti Tanya, seseorang akan berasakan bahawa dia mempunyai peluang
untuk mendapatkan suatu ‘babak akhir Bollywood’.
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.