Ceritalah: Di Bekasi - dan Indonesia - rumah yang terbahagi?

Karim Raslan
April 1, 2019 09:06 MYT
Wilayah Jawa Barat, di mana terletaknya Bekasi, merupakan medan pertempuran utama dalam pilihan raya ini bagi kedua-dua Jokowi dan Prabowo. - Team Ceritalah
PADA 17 April 2019, Indonesia akan melalui pilihan raya. Jawa Barat, wilayah paling banyak penduduknya di negara itu, dengan 48.9 juta orang, menjadi medan pertempuran pengundian paling utama.
Pada 2014 lalu, Joko Widodo kehilangan wilayah kaya undi itu kepada pesaingnya, bekas jeneral Prabowio Subianto dengan perbezaan besar, 20 mata. Sejak itu, beliau menjadikan wilayah orang Sunda itu sebagai sasaran penting, dengan mencurahkannya pelbagai projek infrastruktur yang kritikal, dari lapangan terbang baharu, laluan keretapi, LRT, empangan hinggalah kepada lebuh raya.
Adakah Datuk Bandar sebuah bandar sebuah kecil yang menjadi Presiden, (kini lebih dikenali sebagai "Jokowi") berupaya meraih sokongan? Akankah langkah beliau memilih seorang ulama Ma'ruf Ain sebagai rakan setandingnya menangani serangan yang sentiasa dilakukan terhadapnya berhubung dengan kelayakan Islam beliau?
Untuk mengetahui perasaan rakyat, saya bersama Pasukan Ceritalah berada di kota Jawa Barat, Bekasi, menghabiskan masa dengan seorang jurutera berusia 38 tahun yang menjadi seorang aktivis dan guru sekolah, Saputro Dwi.
Sokongan politik dalam rumah kecil Pak Dwi yang berukuran 60 meter persegi itu adalah kompleks --- memberi tanda, tanpa ragu, suasana politik merentas wilayah itu.
Kedua-dua beliau dan bapanya, Pak Marijo adalah penyokong tegar Prabowo. Ibunya, kelahiran Jawa Tengah adalah peminat Jokowi. Bagaimanapun, isterinya (yang tidak sempat kami temui), walaupun digalakkan oleh suaminya untuk memilih bekas jeneral itu, tetapi tetap kekal tegas berkecuali.
Jika anda bertanya sesiapa di Jakarta mengenai Bekasi -- kota dan daerahnya -- tidak jauh dari ibu kota negara, mereka akan memberitahu anda bahawa ia terletak "jauh" dari mana-mana tempat: panas, membosankan dan mungkin sedikit berbahaya.
Kawasan luar bandar, pada umumnya, tidak disukai ramai. Orang sering memandang buruk kepada Croydon dan Jersey City contohnya.
Bekasi tidak ada bezanya. Ia adalah tempat yang kurang menarik, tetapi dengan gabungan penduduk 9.3 juta dipadatkan ke dalam hampir 1,500 kilometer persegi, ia menjadi pusat bandar terbesar Indonesia yang anda tidak akan pernah dengar. Ia juga mewakili lebih 13 peratus penduduk Jawa Barat.
Malahan, Bekasi boleh dihujahkan sebagai kawasan utama perindustrian Indonesia. Terdapat kilang-kilang automotif yang besar (dari Toyota, Honda dan Wuling), gudang-gudang (termasuk pusat pengedaran Unilever terbesar Asia Tenggara), pusat-pusat membeli-belah, blok-blok apartmen dan kawasan-kawasan perumahan yang luas.
Namun begitu, suasana pertanian yang dahulu di kawasan itu -- tanda-tanda bagaimana kehidupan berada di situ sebelum ledakan perindustrian --- tidak pernah hilang dari permukaannya.
Dan dalam perjalanan ke rumah sederhana Pak Dwi di Rawalembu (secara literalnya "Rawa-lembu" atau "paya penuh dengan lembu"), saya dapati diri saya terlihat satu dunia berlainan -- atau patutkah saya menyebutnya sebagai zaman yang berbeza?'
Di tengah-tengah kekelabuan bandar Indonesia yang kotor dan melarat --- sepanjang jalan sempit dengan rumah yang bercampur-baur dan warung-warung kecil, kelihatan budak-budak lelaki menunggang basikal dengan joran pancing, kambing dan pokok buah-buahan --- tanda-tanda menarik mengenai apa yang pernah ada di situ.
Pak Dwi pindah ke Bekasi dari Jakarta bersama ibu bapanya ketika beliau masih kanak-kanak. Duduk di rumah kecilnya bersama sekumpulan kanak-kanak bermain dengan bising di lorong luar, beliau terkenangkan sawah padi dan anak-anak sungai yang ketika itu bersimpang-siur di tengah-tengah pembinaan perumahan.
Dengan perawakan seorang seniman dan membesar pada hari-hari akhir regim "Orde Baru" Suharto, beliau menjadi seorang aktivis bersama ribuan yang lain.
Semangat mudanya telah lama berlalu. Beliau kini lebih skeptikal terhadap konsumerisme yang dilihatnya meningkat di sekelilingnya --- dunia telefon bimbit dan gajet. Dan ketika mana beliau adalah peminat tegar presiden pertama, Sukarno, yang disanjunginya, beliau tetap tidak yakin dengan calon yang mempertahankan jawatan, Joko Widodo (Jokowi).
"Saya mahu perubahan. Saya mahu seseorang yang akan membawa negara ini ke tempat lebih baik. Setiap orang sekarang ini mengeluh: sukarnya mendapat pekerjaan dan harga barang yang tinggi. Sebab itu saya tertarik pada Prabowo. Beliau komited menjunjung Kedaulatan dan keselamatan negara. Lagipun, kita memerlukan seorang pemimpin yang kaya sebelum menjadi Presiden."
Malahan, bapa Dwi, Pak Marijo (yang lahir di Madiun) mempunyai rasa kaitan yang kuat pada Prabowo, setelah bekerja hampir 30 tahun di sebuah syarikat katering yang dimiliki oleh sanak saudara keluarga terkemuka, Djojohadikusomo.
"Ketika Prabowo berkahwin, syarikat ketua saya menguruskan katering beliau. Sebagai kakitangan, suka atau tidak, kami mesti mengikut ketua kami dan beliau adalah seorang majikan yang baik. Saya mampu membina sebuah keluarga, beli rumah ini dan mendidik dua anak saya."
Apabila ditanya sama ada beliau boleh mengikut berkempen, beliau menggeleng kepala. Beliau terlalu sibuk dengan kerjanya, walaupun beliau suka menonton satu pertunjukan debat bernama "Kelab Peguam Indonesia" yang dipengerusikan oleh personaliti TV, Karni Ilyas.
Bagaimanapun, isteri Pak Marijo, Ibu Semini, seorang wanita berusia 63 tahun kelahiran Karanganyar adalah seorang penyokong tegar Jokowi. Setelah memperoleh manfaat dari BPJS (skim penjagaan kesihatan nasional) dan apabila melihat lebuh raya baharu, kekagumannya hanya bertambah.
"Saya menyokong Jokowi sejak beliau menjadi Datuk Bandar Solo, dan kemudian menjadi Gabenor Jakarta dan kemudiannya Presiden. Oleh kerana Karanganyar dan Solo adalah wilayah yang berjiran, undi saya adalah untuk Jokowi."
Kedua-dua Pak Marijo dan Ibu Semini bagaimanapun menekankan bahawa kempen itu tidak memberi kesan pada kehidupan keluarga mereka. Pak Marijo membenarkan isterinya menonton liputan kempen Jokowi di TV dan begitu sebaliknya. Mereka juga menyatakan bahawa kejiranannya juga kelihatan tidak berlaku polarisasi dan kedua-duanya bersetuju bahawa mereka menerima sesiapa saja yang dipilih.
Adalah suatu yang menyenangkan apabila mendengar keluarga itu membincangkan pilihan raya tersebut. Keterbukaan mereka berbeza benar dengan retorik bingit dan perpecahan yang terdapat di televisyen dan media sosial.
Malah, Pak Marijo menyatakan bahawa semua rakyat Indonesia berhak mengundi tetapi juga mesti menghormati sesiapa saja yang dipilih. Mereka kesemua menolak ucapan kebencian dan hoax.
Maka, ketika mana sokongan adalah terbahagi di seluruh Republik, sekurang-kurangnya di sebuah rumah kecil, 60 meter persegi di Bekasi, sebuah keluarga akan meneruskan kehidupan tidak kira siapa yang menang pada 17 April ini.

* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Bekasi #Ceritalah ASEAN #Indonesia #jawa barat #Joko Widodo #Karim Raslan #pemilihan #pilihan raya #Prabowio Subianto
;