Ceritalah ASEAN: Vietnam pamer hala tuju ASEAN
Karim Raslan
September 1, 2016 10:21 MYT
September 1, 2016 10:21 MYT
DAERAH Ba Dinh, Hanoi, terletak tidak jauh dari Kompleks Makam Ho Chi Minh dan Bangunan Badan Perundangan Negara.
Di sini saya telah berkunjung ke rumah seorang balu berusia 77 tahun Cao Ngoc Diep yang juga menempatkan sebuah kuil memperingati nenek moyang keluarga beliau.
Di atas tempat penyembahan, terdapat sekeping gambar lama seorang lelaki - Cao Minh Phi, suami Diep yang mati dibunuh askar Amerika Syarikat di Nha Trang pada tahun 1968.
Cao Minh Phi baru berusia 28 tahun ketika meninggalkan seorang balu dengan empat anak kecil - antara jutaan mangsa tidak berdosa dalam peperangan Vietnam.
Cucu perempuannya yang boleh berbahasa Inggeris, Ngoc, membawa saya melihat beberapa tokong kecil lain yang penuh dengan ukiran menarik, kebanyakannya mempunyai inskripsi dalam bahasa Cina dan dipenuhi patung dewa-dewa serta barang persembahan seperti buah naga, minuman beralkohol cognac dan wang tunai – jelas menonjolkan budaya Vietnam yang bercampur-aduk dan sedikit 'keliru'.
Memandangkan isu tentang Laut China Selatan masih hangat diperkatakan, ramai masyarakat Vietnam yang bersuara lantang menyuarakan pendapat tentang negara Tembok Besar itu.
Sememangnya, dengan sempadan antara kedua-dua buah negara terletak hanya tiga jam dari Hanoi, hubungan di antara Vietnam dan China membawa kesan langsung yang mendalam.
Ngoc berkata dalam bahasa Inggeris: “Kami curiga dengan China. Kami tidak suka mereka.”
Neneknya pula bersuara dalam Bahasa Vietnam seraya mengangguk tegas: "Sudah tentu!”
Pada malam sebelumnya, seorang wartawan terkemuka yang pulang dari Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Asean yang berlangsung di Vientiane menjelaskan bahawa: “Kami tetap bekerjasama dalam ekonomi dan perniagaan, tetapi apabila timbul soal kedaulatan, kami lawan!”
Kecurigaan terhadap China seolah-olah merupakan sentimen semula jadi dalam sanubari setiap warganegara Vietnam.
Respons Asean terhadap kebangkitan China sememangnya menarik dan dinanti-nantikan. Adakah Vietnam, yang mempunyai sejarah hubungan kompleks dengan China sejak ribuan tahun dahulu, mampu memberikan templat yang baik?
Pada tahun 40 Masihi, para wirawati Vietnam yang paling diraikan, adik-beradik Tru’ng mengetuai pemberontakan terhadap dinasti Han.
Pada kurun ke-15, seorang bangsawan Le Loi telah berjaya menubuhkan dinasti paling lama memerintah Vietnam setelah mengusir keluar tentera Ming.
Dalam sejarah moden, masih segar di ingatan tentera Vietnam apabila berjaya mematahkan serangan dari China pada tahun 1979.
Namun demikian, budaya Vietnam banyak dipengaruhi China. Bahasa China merupakan bahasa kelas elit yang digunakan di Istana dan dalam kesusasteraan.
Malahan, gambar Tokong Konfusius di Hanoi menghiasi wang kertas VND100,000 hari ini.
China merupakan rakan dagang terbesar Vietnam. Sebanyak 30 peratus hasil import Vietnam adalah dari China.
Di pasar kain di Hanoi, sejumlah besar fabrik yang dijual adalah dari China.
Agak senang untuk melihat logo “Buatan China” tertera pada buku-buku, tali pinggang, pinggan mangkuk dan sebagainya.
Malah projek infrastruktur terkini iaitu Hanoi Metro yang bernilai USD553 juta akan dibina oleh para pelabur dari China.
Namun begitu, persamaan-persamaan ini tidak mampu memadamkan kepahitan yang sudah berkurun lama terbuku di antara negara terbabit.
Pada tahun 2014, tunjuk perasaan tercetus apabila China membina sebuah pelantar minyak di Laut China Selatan yang masih dipertikai pemiliknya.
Kedua-dua negara itu juga pernah bersengketa mengenai kepulauan Paracel pada 1974 dan kepulauan Spratly pada 1988.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Isu-isu Sempadan Kerajaan Vietnam, Dr Tran Cong Truc menerangkan: “Ramai yang sukar memahami bahawa dalam isu ekonomi, Vietnam dan China mampu bekerjasama tetapi terus bersengketa dalam isu kedaulatan.
"Untuk memahaminya dengan lebih mendalam, kita perlu mengamati sejarah hubungan kedua-dua buah negara.”
Walaupun musykil dengan peranan China, Vietnam tetap strategik dan rasional, memilih untuk tidak mudah melenting, menambah sekutu dan tidak gelojoh dalam bertindak.
Seperti yang diberitahu oleh seorang bekas ejen perisik, tiada sebarang perkara yang pasti. Contohnya dalam situasi Amerika Syarikat katanya: “Vietnam sentiasa menyokong sebarang negara yang menyokong kedaulatannya.”
Mereka yang terlibat dalam peperangan dengan Amerika Syarikat ketika muda dahulu, adalah pemimpin-pemimpin yang mengikat perjanjian bersama musuh lama mereka.
Malah, pada awal tahun ini, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengumumkan bahawa Amerika akan menarik balik sekatan penjualan senjata kepada Vietnam setelah berdekad lamanya.
Dengan keinginan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap China, Vietnam juga pada masa kini sedang memperkukuh hubungan ekonomi bersama Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
Hubungan Vietnam bersama Korea Selatan telah memperlihatkan hasil yang besar. Baru-baru ini, syarikat gergasi Samsung melabur US$12 bilion dalam bidang elektronik khususnya dalam pembuatan telefon pintar.
Masyarakat Vietnam (tidak seperti orang Filipina) telah berjaya menyeimbangkan kepentingan ekonomi, politik dan ketenteraan dalam perhubungan dengan China.
Vietnam telah berjaya menjaga jarak dengan China tanpa menjadikan negara gergasi itu sebagai musuh.
Apakah hala tuju Asean dan China, terutamanya bagi negara-negara yang mempunyai hubungan yang kompleks dengan Beijing?
Rasa kekecewaan jelas kelihatan pada pegawai-pegawai Vietnam terutamanya dalam berdepan konflik Laut China Selatan.
“Apabila rumah jiran sedang dilanda kebakaran, seseorang tidak boleh berkata, ‘Oh, itu masalah jiran, api tidak akan merebak’. Jika tiada amalan kerjasama, kita semua akan dijilat api.
"Saya hargai inisiatif Filipina yang telah membawa isu Laut China Selatan kepada Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (PCA) di The Hague. Dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran, kami percaya bahawa langkah-langkah sebegini adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan konflik perantauan tersebut.”
China pasti akan merasa akibatnya jika mereka memilih untuk berkeras dalam menghadapi konflik ini.
Dalam negara-negara Asean menilai prioriti negara masing-masing, para pemimpin di seluruh Asia Tenggara harus mempelajari bagaimana Vietnam telah berjaya mengekalkan kemerdekaan dan kehormatannya dari dahulu sehingga kini.
#budaya Vietnam
#Ceritalah ASEAN
#Dinasti Ming
#Dr Tran Cong Truc
#ekonomi
#hala tuju Asean
#Karim Raslan
#kedaulatan
#konflik perantauan
#pengaruh China