Ceritalah ASEAN: Pilpres Indonesia - Suatu pilihan raya pecah-belah?
Karim Raslan
Mei 26, 2019 06:00 MYT
Mei 26, 2019 06:00 MYT
MALAM di Jakarta agak lebih awal daripada Kuala Lumpur. Berbuka puasa adalah pukul 5.47 dan bagi Dita Hidayatunnisa, seorang guru dan pentadbir dari Bekasi, yang berbadan gempal tetapi cergas, bayang-bayang yang semakin memanjang membuatkan beliau dan rakan-rakannya tiba-tiba berasa lebih sedar terhadap perubahan suasana di Jalan MH Thamrin, jalan enam laluan yang luas betul-betul di luar bangunan Bawaslu (Badan Pengawasan Pilihanraya) di tengah-tengah bandar raya.
"Orang di sekeliling kami tiba-tiba menjadi lain. Mereka bukan saja berlegar seperti kami dan yang lain. Mereka kelihatan mempunyai tujuan." Beliau menggerakkan tangannya seolah-olah menolak sesuatu ke depan. Gelagat beliau adalah jelas dan ringkas. "Mereka memakai lencana menyeru supaya pilihanraya itu ditolak, mereka membawa bendera dan buluh runcing."
Seperti Dita menjelaskan kepada Pasukan Ceritalah bahawa beliau dan sekumpulan 15 kawannya telah datang dengan keretapi lebih awal pada hari itu -- pada 22 Mei, hari di mana berlaku rusuhan terburuk. Sebagai seorang penyokong tegar bekas jeneral Kopassus yang kontroversi dan calon Presiden, Prabowo Subianto, Dita dipengaruhi dengan dakwaan (masih tidak terbukti) telah berlaku penyelewengan undian.
Dia berterus terang: "Jika tidak berlaku penipuan Prabowo boleh menang sehingga 53 peratus." Beliau malah mempunyai bukti video yang mendokong pendapatnya tetapi jelas telah ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang telah mengisytiharkan presiden bertahan, Joko Widodo (atau Jokowi) sebagai pemenang dengan lebih 55 peratus undi iaitu majoriti kira-kira lebih 17 juta.
Memandangkan risiko yang tinggi, Dita dan kawan-kawannya membuat persediaan rapi pada pagi 22 hari bulan itu -- mereka memakai topeng muka dan mencalit pipi mereka dengan ubat gigi (yang mana mereka percaya akan membantu jika disembur gas pemedih mata).
Kawasan yang selalunya sibuk di depan bangunan sementara lima tingkat Bawaslu adalah sangat panas dan tidak tentu hala pada waktu tengah hari. Terdapat beberapa kumpulan polis yang terpisah-pisah memakai kelengkapan rusuhan dan sekelompok peserta bantahan mendengar seorang pemidato jalanan.
Dita ingat mendengar sorakan apabila seorang pemidato menyeru siasatan lanjut ke atas dakwaan kematian ratusan pekerja pusat mengundi semasa pengiraan pilihan raya. Apabila menjelang senja, Dita dapati bahawa orang ramai semakin bertambah dan peserta yang datang kemudiannya kelihatan kurang mesra, malah menakutkan. Berasakan bahawa ketegangan sedang berlaku, beliau dan kawan-kawannya mengambil keputusan meninggalkan demonstrasi. Apabila pukul 7 malam, mereka menunggu kereta api untuk pulang ke Bekasi. Kemudian dari itu, WhatsApp Dita dihujani ratusan teks, gambar dan pautan mengenai kekacauan yang berlaku pada malam tersebut.
Beliau - seperti ramai yang lain - terfikir-fikir bagaimana suatu demonstrasi yang bermula dengan aman boleh bertukar dengan cepat menjadi rusuhan penuh yang mengakibatkan ratusan cedera dan tujuh maut (menurut sumber rasmi polis).
Kehidupan harian Dita tidaklah begitu dramatik. Beliau bekerja di sebuah sekolah swasta yang juga menjadi pusat tuisyen yang diasaskan oleh bapanya. Tidak ada apa sangat untuk dilihat - beberapa bilik di sebuah rumah teres satu tingkat di jalan yang tidak ada tarikan. Ia merupakan urusan keluarga dan saudara perempuannya bekerja bersama dengannya. Beliau suka untuk berasa bahawa mereka sedang menyediakan peluang pendidikan untuk rakyat yang 'terjatuh di retakan' - dari pengawal keselamatan ke mereka yang tercicir sekolah. Yurannya amat berpatutan (hanya IDR100,000), iaitu satu pertiga daripada kos bagi kursus serupa di sekolah kerajaan.
Mengendalikan sekolah itu merupakan perniagaan cukup makan. Setakat ini beliau tidak dapat saluran dana kerajaan. Dita juga percaya pentadbiran Jokowi telah mengabaikan pendidikan dan beliau secara peribadi terkejut dengan idea-idea 'liberal' yang dibacanya di atas talian.
Keluarganya (seperti mana yang banyak di Bekasi dan Jawa Barat) adalah peminat lama Prabowo. Beliau suka persona awamnya yang tegas dan yakin beliau mampu mengatasi polarisasi kaum dan agama. Adalah jelas beliau menjadi peminat besar calon Naib Presiden, Sandiaga Uno yang muda dan bertenaga.
Bagi beliau, Ahok (Basuki Tjahaja Purnama, bekas Gabenor Jakarta yang baru dibebaskan dari penjara) adalah tokoh yang berpolarisasi dan memecah-belah - bagi fikirannya - itu adalah lebih teruk kalau tidak pun berbahaya daripada komen-komennya yang dikatakan menghina agama.
Beliau berasakan bahawa Jokowi tidak memandang orang seperti dirinya (penyokong-penyokong pembangkang) sebagai 'rakyatnya.' Tetapi beliau juga terkejut dengan mudahnya orang tertipu yang percaya apa saja yang mereka baca di atas talian.
"Ia menyedihkan saya dan kawan-kawan saya setiap kali kami membaca mengenai seseorang yang mudah diprovokasi dengan secebis berita yang terang-terang palsu."
Maka ketika ibu kota kembali normal (walaupun Jalan MH Thamrin di depan bangunan Bawaslu kekal ditutup) cabaran bagi menyembuhkan negara akan terus menghantui pentadbiran Jokowi. Kuasa-kuasa yang dilepaskan semasa kempen panjang dan sukar beserta media sosial tidak akan sepenuhnya dapat diredakan. Tentunya sebarang percubaan untuk merapatkan jurang itu akan menghadapi banyak halangan. Naratif yang bercanggah akan benar-benar bertentangan. Sebagai contoh, Dita akan lebih terkejut dengan semua laporan yang mendakwa kekejaman polis sementara mereka di pihak Jokowi pula memuji apa yang mereka lihat sebagai tindakan polis menahan diri.
Adakah beliau yakin akan ada suatu rekonsiliasi? Bagi Dita, apa yang terbaik untuknya lakukan ialah 'legowo' - satu ungkapan Jawa yang merakam satu perasaan penerimaan pasif walaupun dengan hati terbuka.
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Bawaslu
#Ceritalah ASEAN
#demonstrasi
#Dita Hidayatunnisa
#Indonesia
#Jakarta
#Joko Widodo
#Karim Raslan
#pendidikan
#penyelewengan undian
#pilihan raya presiden
#Pilpres 2019
#Prabowo Subianto
#rusuhan