Ceritalah ASEAN - Pilihan raya Thai: Apa Prayuth akan lakukan untuk kekal berkuasa?
Karim Raslan
Januari 9, 2019 07:38 MYT
Januari 9, 2019 07:38 MYT
BERPENAMPILAN kemas, Sopa Trontong, 34 tahun, adalah seorang ahli akademik yang kemudiannya menjadi penasihat kewangan dan berpangkalan di Chiang Mai. Tenang, profesional dan dengan sedikit minat terhadap politik, beliau didapati tidak bersedia untuk menjawab apabila saya bertanya sejauh mana pilihan raya Thai yang akan datang boleh berlangsung dengan adil.
Penampilan zahir Khun Sopa yang cukup dijaga rapi --- beliau menggemari warna kelabu, perak dan kelabu bercampur perang muda --- menyembunyikan suatu kisah lampau peribadi yang kompleks. Lahir di Mae Rim (terletak tidak jauh di luar ibu kota utara itu) dari keluarga penanam padi yang serba kekurangan, ibu bapa Sopa terpaksa meninggalkannya pada neneknya sementara mereka bekerja untuk menyara hidup yang sukar.
Sungguhpun begitu, beliau mengenang kembali era Thaksin Shinawatra (2001-2006) sebagai zaman kemakmuran yang tiada tolok bandingnya: "Ibu bapa saya menjadi stabil dari segi kewangan dan mereka memulakan perniagaan sampingan sebagai orang tengah, menjual peralatan pertanian, baja dan racun perosak."
Keadaan ini dapat difahami kerana bapanya kekal sebagai penyokong kuat Thaksin. Bagaimanapun, beliau lebih objektif dalam penilaiannya terhadap bekas perdana menteri berasal Chiang Mai itu dengan menambah kata: "Saya dan bapa saya tidak boleh lagi bercakap mengenai politik."
Dalam banyak hal, Khun Sopa mendedahkan kecenderungan kelas menengahnya yang kian meningkat ketika beliau menjelaskan rasa tidak senangnya terhadap konflik kumpulan Baju Merah dan Kuning semasa era pasca-Thaksin.
Malah, beliau merupakan seorang penyokong rampasan kuasa oleh Jeneral Prayuth Chan-o-cha pada tahun 2014 kerana kestabilan yang dibawa oleh pihak tentera kepada negara berpopulasi 69 juta itu.
Tetapi sekarang, ketika Thailand terperosok dengan pertumbuhan lemah (dijangka pada 4.1 peratus pada tahun 2018), Khun Sopa menggeleng kepalanya. "Negara ini memerlukan seorang Perdana Menteri 'sebenar', mungkin seorang ahli perniagaan untuk memimpin kami menghadapi cabaran-cabaran ini."
Sebagai seorang penasihat kewangan sepanjang empat tahun lalu, beliau telah berurusan dengan pemilik perniagaan kecil, yang kebanyakan daripadanya terpaksa menghentikan operasi kerana keadaan yang meruncing ini.
Khun Sopa menambah: “Ekonomi lemah ini memberi kesan mendalam terhadap penghuni bandar. Anda lihat --- para peladang umumnya boleh hidup berdikari. Generasi yang lebih muda benar-benar berasakan perubahan ini. Ia adalah besar."
Malah pelancongan, pendapatan besar Thai telah terjejas apabila bilangan pengunjung China telah berkurangan (dengan 12 peratus kemerosotan pada Ogos sahaja). Ini antara lain disebabkan kejadian feri di pesisiran pantai Phuket baru-baru ini apabila sekitar 47 penumpang (sebahagian besar adalah warga China) mati.
Di tengah-tengah semua berita negatif itu, butiran mengenai pilihan raya yang akan datang (pada masa ini dijadualkan berlangsung pada 24 Februari) telah menambah satu lagi lapisan yang mengecewakan. Khun Sopa tidak boleh mengelak untuk berasa bahawa pilihan raya ini tidak akan bebas dan adil.
Dan beliau tidak bersendirian dalam hal ini. Seorang bekas wartawan yang bergerak di Chiang Mai ketawa sinis apabila kami bersembang mengenai politik, dengan menyatakan: "Jika kau hendak bercakap mengenai keadilan di Thailand, ia tidak akan berlaku."
Para pengkritik menyentuh mengenai Perlembagaan 2017 yang baru diratifikasi itu secara meluas disifatkan sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Jeneral Prayuth. Sebagai contoh, kesemua 250 orang Senator di Dewan Tertinggi akan dilantik oleh sebuah panel junta tentera yang dikawal beliau.
Tambahan pula, enam daripada 10 anggota panel itu dikhaskan untuk anggota pasukan keselamatan dan polis. Malah, jika Senat mengambil keputusan bahawa suatu kerajaan yang dipilih tidak layak untuk memerintah, mereka akan mengusulkan undi tidak percaya.
Perlembagaan juga tidak menetapkan sama ada calon-calon Perdana Menteri perlu terdiri daripada Ahli Parlimen yang dipilih. Ini bermakna seorang Perdana Menteri boleh muncul tanpa restu Parlimen Thai, apatah lagi rakyat.
Tindakan penipuan sengaja dalam sistem pilihan raya akan menjejaskan kewibawaan pengundian ini dan sebarang mandat yang diperoleh seorang ‘pemenang’ berpotensi.
Untuk kembali kepada ‘keadaan normal’ dalam politik seperti yang orang biasa Thai seperti Khun Sopa idamkan, mungkin tidak akan tiba pada waktu terdekat --- itupun kalau ia terjadi.
Jeneral Prayuth perlu melihat ke wilayah selatan.
Tahun lalu, pada waktu sama, bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak juga berdepan dengan penduduk yang menentangnya, ekonomi yang merudum dan dahagakan suatu pilihan raya yang bersih dan telus.
Kerajaan BN bertindak melakukan langkah-langkah pentadbiran untuk menghalang penyertaan rakyat dalam pengundian. Ini membawa kepada suatu gelombang ketidakyakinan dan kemarahan awam. Selepas itu, ia menjadi sejarah.
Pada Disember, cadangan Jeneral Prayuth supaya lambang parti tidak digunakan pada kertas undi mengundang bantahan awam yang meluas.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian mengemukakan suatu reka bentuk yang diubah semula untuk memasukkan lambang, nama dan angka parti. Setelah penantian lima tahun, rakyat Thai berasa terdesak untuk melaksanakan hak-hak demokratik mereka, dan campur tangan Prayuth tidak akan menghalang mereka.
Jeneral Prayuth perlu menyedari bahawa mandat yang tulen tidak boleh ‘direka’.
Dengan bergantung pada kebimbangan dan sikap tidak peduli rakyat Thai boleh membawa kepada suatu penentangan secara besar-besaran.
*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.