Ceritalah ASEAN - Nguyen Ba Thanh: Bawa perubahan kepada Danang

Karim Raslan
November 3, 2017 21:35 MYT
Gedung pencakar langit di Danang, Pusat Administrasi Danang, setinggi 37 tingkat. Foto Karim Raslan
PADA 11 November ini, pemimpin-pemimpin dari 21 negara - termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (yang gemar menampilkan diri sebagai seorang jurubina), Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Presiden China Xi Jinping - akan turun ke bandar raya Danang, Vietnam Tengah, untuk menghadiri Persidangan Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Dua puluh satu orang pemimpin itu akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang, menyeberangi Jambatan Sungai Han yang ikonik (mercu tanda bandar raya pantai itu), melewati Pusat Pentadbiran Danang yang setinggi 37 tingkat (bangunan tertinggi di wilayah itu) dan akan sampai di Intercontinental Resort, di mana sidang kemuncak itu diadakan.
Kemajuan Danang yang mengagumkan adalah hasil kerja seorang lelaki yang luar biasa: mendiang Nguyen Ba Tanh - yang berkhidmat sebagai pemimpin Danang dari 1997 hingga 2013 (beliau juga merupakan ketua parti Komunis kota itu).
Dan angka-angka menjadi petunjuk kejayaan Nguyen. Dari tahun 1997 ke 2008, ekonomi bandar raya itu meningkat 11.26 peratus, lebih tinggi daripada purata nasional iaitu 7.06 peratus. Pada tahun 1997, pendapatan per kapitanya ialah VND4.69 juta tetapi pada 2008, ia mencapai lebih empat kali ganda iaitu VND23.62 juta.
Dalam tempoh yang sama, isi rumah di bawah garisan kemiskinan telah jatuh dari 8.79 peratus kepada kurang daripada satu peratus hinggakan Danang kini dipromosikan sebagai bandar raya contoh dan merupakan suatu kejayaan besar bagi kepintaran dan kecergasan Vietnam.
Menawan, bersungguh-sungguh dan berorientasikan hasil, Nguyen memimpin perubahan besar ekonomi itu.
Hoang (semua nama telah diubah), seorang pedagang berusia 68 tahun, tinggal di daerah Khue My di Danang, pernah berjumpa dengan pemimpin itu. Dalam tahun 2001, ladangnya telah dirancang untuk pembangunan semula dan keluarganya dipindahkan. Nguyen sendiri datang ke rumahnya untuk memujuk penduduk di situ supaya berpindah.
"Beliau menjelaskan mengapa kami perlu pindah, mengapa tanah kami, yang terletak bersebelahan sungai adalah penting bagi pembangunan bandar raya ini. Beliau mesra, baik hati dan pastikan dapat bercakap dengan kesemua 100 penduduk itu, walaupun hanya untuk seketika."
"Beliau petah bercakap, mengambil berat dan melucukan! Selepas bercakap dengannya, saya gembira untuk berpindah."
"Pada masa itu, jalan-jalan bertambah besar, jalan raya menjadi lebih bersih dan Danang menjadi bandar raya yang saya banggakan."
Hoang adalah sebahagian daripada satu kumpulan besar petani yang dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan tebing sungai.
Ketika mana banyak daripada mereka kehilangan tanah, mereka juga mendapat ganti rugi dan pihak kerajaan membantu mereka mencari kediaman mampu milik.
Seorang lagi bekas petani ialah Ngoc, kini merupakan penjual banh mi (sandwic baguette Vietnam yang terkenal). Menurut beliau, Nquyen telah melawat kawasan perumahannya dan berbincang dengan komuniti itu. "Beliau dekat dengan rakyat... beliau bercakap seperti salah seorang daripada kami, seperti orang sini."
Nguyen ialah orang Danang, lahir di daerah Hoa Vang dalam bandar raya itu. Melalui semua cerita-cerita itu, beliau adalah seorang tokoh berkarisma yang selesa berada di balai kampung, seperti mana di dewan persidangan hotel.
Beliau yang dikenali sebagai "Raja Danang," popular di kalangan orang kaya, mahupun yang miskin.
Pham, ahli perniagaan berusia 49 tahun, adalah salah seorang daripada mereka. Keluarganya berasal dari kawasan orang miskin di bahagian dalaman kota Danang, dan merupakan mereka yang memperoleh manfaat daripada rancangan perumahan mampu milik Nguyen.
"Semasa Tet (Tahun Baharu Vietnam), beliau akan mengagih beras dan keperluan-keperluan lain kepada orang miskin. Beliau membina rumah-rumah mampu milik. Beliau juga mewujudkan tempat perlindungan golongan tidak berumah di Danang. Lihatlah sekeliling. Bandingkanlah dengan Ho Chi Minh City. Adakah kamu nampak pengemis?"
"Nguyen Ba Thanh adalah istimewa, saya tidak fikir ada pemimpin yang amat disayangi sepertinya selain Uncle Ho (Ho Chi Minh)."
Pembangunan pesat Danang berjaya dilakukan dengan adanya kuasa. Nguyen (atau "Raja") dikenali mempunyai kuasa penuh ke atas Jawatankuasa Rakyat Danang, memerintah dengan tegas dan bersifat kebapaan.
Seperti mana Dinh yang bekerja di Danang sejak 20 tahun lalu menyatakan: "Beliau amat tegas terhadap penjawat awamnya - amat terlibat dalam hal ehwal seharian, malah beliau memilih lagu tema bagi Danang.
"Dulu apabila anda memerlukan lesen bagi membina bangunan, anda perlu pergi ke tiga atau empat jabatan berbeza untuk mendapatkan permit. Nguyen Ba Thanh menyelaraskan proses itu dan sekarang anda perlu hanya pergi ke satu jabatan, malah mereka beri tarikh akhir bagi penyerahannya. Dan mereka menyerahkannya tepat pada masanya!"
"Sebagai contoh, Pusat Pentadbiran Danang. Dulu-dulu, jabatan berbeza terletak di pelbagai tempat di bandar, menyebabkan koordinasi dalaman menjadi sukar, dan memohon lesen sesuatu yang menyusahkan. Kini, semuanya berada dalam menara yang sama."
Pada 2000, Nguyen disiasat atas kesalahan rasuah dalam pembinaan Jambatan Sungai Han. Pada waktu sama, beliau dituduh melanggar prosedur undang-undang ketika melaksanakan operasi penempatan semula.
Bagaimanapun bagi Dinh: "Kedua-dua kes itu tidak bermakna apa-apa. Orang Danang tahu beliau tegas.... Tetapi usaha beliau mendatangkan hasil. Bagi kebanyakan kami, itu saja yang penting."
"Di seluruh Vietnam, rakyat mengenali beliau. Orang akan berkata pada saya: Saya harap di tempat kami ada seseorang seperti Nguyen Ba Thanh."
Dalam banyak hal, Nguyen - seorang pemimpin transformasi dari akar umbi - ada persamaan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte. Ketiga-tiga mereka membangunkan bandar raya mereka dan akhirnya bergerak ke pusat.
Bagaimanapun, dalam hal Nguyen, kisahnya tidak berakhir dengan beliau memperoleh kuasa di peringkat nasional.
Sebaliknya, setelah meninggalkan Danang pada 2013 dan menjadi ketua anti-korupsi Parti Komunis, bintangnya pudar, begitu juga kesihatannya, dan akhirnya beliau tewas kepada kanser pada awal 2015.
Jutaan orang berkabung atas kematiannya yang disifatkan mengejut dan tragis pada usia 62 tahun itu. Mereka mengharapkan beliau dapat melakukan transformasi dalam aspek lain di negara itu, seperti mana yang diusahakannya untuk Danang. Tetapi kita - dan Vietnam - tidak akan tahu sama ada beliau ada rancangan untuk melaksanakannya.
"Apabila beliau meninggal dunia, saya menangis," keluh Hoang. "Kali akhir saya menangis kerana seorang pemimpin ialah apabila Jeneral Vo Nguyen Giap (wira perang Vietnam) meninggal dunia."
Minggu ini, ketika ratusan kereta Audi hitam berkilat dipandu membawa pemimpin-pemimpin dunia menghadiri APEC, mereka akan bergerak di atas jalan-jalan dan jambatan yang dibina oleh Nguyen, dalam kota yang pernah menjadi takhtanya. Bayang-bayang 'Raja Danang' masih teguh.
Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
#Ceritalah ASEAN #Danang #Karim Raslan #Nguyen Ba Tanh #Vietnam
;