Ceritalah ASEAN - Melalui lensa: Peminat Piala Dunia 2018 Asia Tenggara

Karim Raslan
Julai 11, 2018 14:02 MYT
Peminat-peminat bola sepak Malaysia menonton perlawanan suku akhir Perancis-Uruguay pada 6 Julai 2018 di Bangsar.
BAGI penduduk Asia Tenggara, bola sepak adalah RAJA. Menurut kajian National Geographic, sukan itu adalah popular di lapan daripada 11 negara di rantau itu (tiga pengecualiannya adalah Kemboja, Laos dan Filipina).
Sekumpulan orang di daerah Kemang, Jakarta menonton perlawanan Perancis-Argentina pada satu malam, mengharapkan sebiji gol dari pasukan Argentina pada 30 Jun 2013.
Sememangnya, bilangan penduduk Asia Tenggara (sekitar 245 juta) yang menonton Piala Dunia 2014 adalah hampir sama dengan jumlah keseluruhan mereka di Amerika Utara dan Tengah.
Sudah tentu - dan malang sekali - tidak terdapat sebarang pasukan serantau yang bertanding dalam Piala Dunia 2018, bermakna lebih 630 juta peminat berpotensi tidak mempunyai pasukan untuk disokong. Tetapi ia tidak mengurangkan obsesi kolektif kita. Dan ketika mana kita menghampiri Separuh Akhir, perhatian global akan terus meningkat.
Ceritalah ASEAN melakukan pemerhatian pantas dari Hanoi ke Jakarta untuk merasakan demam bola sepak dan pasukan mana yang mereka sokong.
Di My Dinh Ward, Hanoi, Do Trang, 19 tahun, pelajar Universiti Nasional Vietnam adalah seorang peminat tegar pasukan Jerman. "Saya sukakan mereka kerana pemain mereka kacak." Rakannya, pengurus HR Duong Hoa, menyokong Rusia. "Mereka jelas lebih baik dan lebih mahir," katanya merujuk pada kemenangan penalti 4-3 Rusia menentang Sepanyol selepas kedua-dua pasukan seri 1-1.
Di Jakarta, Riko yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kedai berharap Mexico - salah satu pasukan Kumpulan F yang kalah - akan berjaya dalam perlawanan Separuh Akhir minggu ini.
"Saya mengikuti Mexico kerana pemain kesukaan saya ialah Javier Hernandes (nama jolokannya Chicharito) adalah salah seorang pemain depan mereka."
Dan siapakah yang saya jangka menang? Mungkin anda bertanya.
Mudah sahaja: Saya tidak pernah mempedulikan bola sepak dan saya tidak akan tergoda dengannya - walaupun pada perlawanan akhir.
Mengenai prospek negara-negara Asia Tenggara melayakkan diri bagi Piala Dunia pada masa akan datang, pegawai kerajaan Nuangruthai Raikrang optimis negaranya, Thailand, boleh masuk ke peringkat antarabangsa. "Jika kerajaan dapat memberikan lebih sokongan kepada pasukan bola sepak kami, maka saya fikir kami pada suatu hari boleh melayakkan diri."
Cris Robert Penol, 29 tahun, yang menganggur, mempunyai pandangan sama. "Atlet Filipina boleh bermain apa saja sukan, tetapi kami tidak dapat melayakkan diri kerana kerajaan kami tidak menyediakan kemudahan latihan yang baik di sini, di negara kami sendiri. Ditambah pula, bola keranjang dan tinju adalah lebih popular."
Pensyarah dan Timbalan Dekan KPJ Healthcare University College, Mithra Thuraisingam berpendapat negaranya, Malaysia, tidak mempunyai potensi - sekurang-kurangnya buat waktu ini. "Malaysia tidak boleh berada dalam Piala Dunia... kerana orang yang berkeupayaan sepatutnya menjadi pengerusi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) berdasarkan merit, bukannya status mereka."
Sama ada mereka percaya bahawa negara mereka akan satu hari mewakili Asia Tenggara di Piala Dunia atau tidak, tidak ada keraguan bahawa rantau ini adalah dan akan kekal sebagai sebuah negara bola sepak.

*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#ASEAN #Bangkok #Brazil #Ceritalah ASEAN #Indonesia #Jakarta #Karim Raslan #Malaysia #Myanmar #Piala Dunia #Rusia #Russia #Thailand #Vietnam
;