Ceritalah ASEAN - Keganasan muncul dengan wajah luar biasa
Karim Raslan
Jun 4, 2018 10:57 MYT
Jun 4, 2018 10:57 MYT
KEJADIAN pengeboman bunuh diri di banyak tempat - di dan sekitar ibu kota pelabuhan Jawa Timur, Surabaya - pada dua hari di pertengahan bulan Mei telah mengakibatkan 25 kematian dan lebih 40 cedera.
Bagi rakyat Indonesia, kekejaman dan perincian serangan itu tetap meruntun perasaan, sama seperti keadaan mangsa-mangsa yang terkorban.
Hakikat yang serangan utama, iaitu pengeboman ke atas dua gereja, dilakukan oleh satu keluarga kelas menengah biasa, dengan empat kanak-kanak dipasang alat peledak, menyebabkan ramai yang terkejut.
Ketika negara itu sedang cuba memahamkan apa yang terjadi, Pasukan Ceritalah turun ke bawah untuk merasakan bagaimana orang awam di Surabaya, sebuah hab industri yang sibuk, menghadapi trauma.
"Tidak. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pengebom bunuh diri," kata Pak Hidayat dengan lembut.
Lahir di kabupaten Lamongan Jawa Timur, suami dan ayah kepada empat orang anak yang berusia 43 tahun itu tinggal di daerah Krebangan, utara Surabaya.
"Saya berada hampir dengan balai polis ketika kejadian itu. Saya boleh dengar bunyi letupan... Mereka bukan manusia," kata Pak Hidayat mengenai penyerang itu.
Bagaianapun, dia rasa terganggu apabila mendapati salah seorang daripada pengebom itu, Dita Oepriarto, adalah seorang bapa.
"Saya terkejut mendapati dia seorang pengganas. Dia mempunyai empat orang anak... sama seperti saya."
Dita didakwa mempunyai hubungan dengan Jamaah Ansharud Daulah (JAD), sebuah kumpulan pelampau Indonesia yang dikaitkan dengan pertubuhan yang digelar Islamic State / Daesh).
"Anak perempuan sulung saya bernama Safina, usianya 12 tahun."
Anak perempuan Dita, Fadhila Sari, juga berusia 12 tahun. Anak itu mati bersama ibunya, yang mengebom Gereja Kristian Indonesia Diponegoro Surabaya.
Pak Hidayat menjalankan perniagaan percetakan digital dari rumahnya. "Saya buat kad jemputan menurut kehendak pelanggan dan stensil berwarna bagi kanak-kanak."
Hidupnya dibangunkan di sekitar nilai-nilai Islam.
Pada usia enam tahun, Pak Hidayat belajar di Pesantren Ihanul Laongan, sebuah sekolah agama berasrama hinggalah berusia 12 tahun. Beliau belajar membaca Quran dan hukum Islam.
Menariknya, Pak Hidayat mempelajari sivik dan Pancasila - ideologi negara Indonesia - di Universiti Negeri Surabaya.
Apa yang mengejutkan, beliau menyertai kumpulan aktivis anti-Suharto, Solidariti Mahasiswa bagi Demokrasi di Indonesia pada tahun 1997.
"Saya ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1998 kerana tampil bersuara. Di penjara, saya didera. Ia membuatkan saya lebih hampir kepada Tuhan."
Setelah dibebaskan setahun kemudian, beliau membuka perniagaan percetakan kecil itu. "Saya membuat keputusan untuk melanjutkan hobi saya dalam reka bentuk digital dan hidup secara sederhana."
Tetapi pada tahun 2010, kehidupan Pak Hidayat berubah apabila beliau membuat keputusan untuk pergi ke Pakistan bersama 10 rakannya.
"Saya pergi ke sana untuk memahami Islam ke tahap lebih mendalam. Saya tinggal di Islamabad selama sebulan setengah. Saya bercakap dengan ulama Indonesia yang tinggal di sana, kebanyakannya mengenai teologi."
Seperti Indonesia, Pakistan juga sering dilanda tragedi. Pada tahun 2010 sahaja, negara Asia Selatan itu telah menyaksikan tidak kurang daripada tujuh serangan ganas, mengorbankan lebih 500 orang.
Ditanya sama ada beliau ada bertemu dengan tokoh-tokoh dan ajaran radikal di Pakistan, Pak Hidayat menegaskan, "Ya ada, tetapi saya tidak tertarik dengan mereka."
Pak Hidayat kini hidup tenang dan selesa, dan menyampaikan ilmu agamanya kepada anak-anaknya.
"Kami sekeluarga duduk bersama selepas solat Subuh. Saya ajar mereka membaca Quran, bersolat - bukan seperti apa yang dilakukan para pengganas yang mengindoktrinasikan anak-anak mereka."
Pendekatannya sangat berbeza dengan cara hidup Dita, yang jelas 'membasuh fikiran' anak-anaknya sendiri, menjadikan mereka alat dan akhirnya mangsa keganasan.
Pun begitu, apabila beliau merenungkan pengalamannya yang hampir mati ketika kejadian pengeboman itu, Pak Hidayat memberikan suatu jawapan seolah-olah bercanggah: "Saya tidak takut pada kematian. Nyawa saya tidak penting."
Ketika ramai warga Surabaya terkejut dengan tragedi pengeboman itu dan kegiatan di pasar-pasar terhenti seketika, kekuatan dalaman bandar itu kemudiannya terserlah kembali.
Pusat-pusat membeli belah serta pasar-pasar basah kembali dipenuhi pelanggan menjelang hari Lebaran.
Bagaimanapun, serangan yang tiba-tiba itu, ketika mana Indonesia sedang bersiap sedia untuk pilihan raya Presiden dan tempatan beberapa bulan akan datang, bermakna republik itu telah memasuki suatu fasa yang baru dan mencabar.