Ceritalah ASEAN - Karen Davila: Penentu Agenda

Karim Raslan
September 29, 2016 11:16 MYT
Selain rancangan bualbicaranya di televisyen, Karen juga mengendalikan rancangan radio dalam bahasa Tagalog dan merupakan ibu kepada dua anak lelaki. - Foto Karim Raslan
KAREN Davila dan Najwa Shihab merupakan dua gergasi media daripada negara asal mereka. Malah, boleh dikatakan bahawa tahap populariti Karen Davila di Filipina setaraf dengan populariti Najwa Shihab di Indonesia.
Keberertian pencapaian mereka digandakan apabila kita mengambil kira peranan penting yang dimainkan industri media di kedua-dua demokrasi Asia Tenggara yang terbesar ini. Dengan lanskap media mereka yang jauh lagi bebas daripada Malaysia, secara langsung, ini bermaksud bahawa media mereka memainkan peranan yang lagi tinggi dalam membentuk nada polemik awam, dan naratif yang dipacu, lagi berpengaruh.
Populariti Karen Davila dan Najwa Shihab membangkitkan persoalan yang penting: Bagaimanakah kedua-dua wanita ini berjaya sampai ke kemuncak industri media masing-masing, secara langsung menjadi wajah media nombor satu di negara majoriti Kristian di Filipina dan negara majoriti Muslim di Indonesia?
Sedikit konteks untuk mengupas persoalan ini, perlu dijelaskan bahawa majikan mereka ialah syarikat media yang jauh berbeza. ABS-CBN yang diwakili Davila, merupakan gergasi nasional yang telah menguasai gelombang udara Filipina untuk berdekad lamanya. Tambahan pula, kanta siarannya adalah kanta yang lagi luas.
Sebaliknya, Metro TV yang diwakili Najwa Shihab merupakan rangkaian kecil yang mempunyai kanta siaran yang lebih spesifik dan memberi tumpuan khusus kepada pencerahan lanskap politik Indonesia.
Meskipun kanta siaran organisasi mereka berbeza, kedua-dua wanita ini mempunyai persamaan yang besar: masing-masing merupakan wajah utama yang mendepani organisasi mereka dalam mengupas isu politik yang penting dan sensitif dengan bantuan sekumpulan penerbit, penulis dan penyelidik yang berkebolehan tinggi.
Turut membantu adalah bakat, kepintaran dan keanggunan wajah mereka.
Malah, Davila pernah disifatkan sebagai “enak” oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte. Najwa pula, popular dalam kalangan kaum lelaki.
Saya berkesempatan menyaksikan kehebatan ini dengan mata saya sendiri baru-baru ini apabila diberi peluang untuk bersua muka dengan Davila di Manila. Secara automatik, saya terpegun dengan daya usaha tinggi beliau serta keupayaan Davila untuk mengimbangi jadual kerja hariannya yang cukup padat.
Jadual harian ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan pengacaraan program “Headstart” di sebuah studio yang bertapak di kejiranan mewah Rockwell, kawasan yang dibangunkan oleh keluarga Lopez yang juga merupakan pemilik ABS-CBN. Seterusnya pada jam 4.30 petang, beliau terus bergerak ke HQ korporat ABS-CBN di Quezon untuk mengacarakan program radio beliau yang menggunakan bahasa Tagalog. Jadual padat beliau diakhiri dengan pengacaraan program berita siaran malam “Bandila” pada jam 10.30 malam.
Sememangnya, Karen merupakan pengacara program-program yang paling berpengaruh di Filipina. Ini terbukti dengan populariti beliau di media sosial. Dengan lebih 2.4 juta pengikut di Twitter dan 361,000 pengikut di Instagram, Davila mempunyai kehadiran media sosial yang setaraf dengan Najwa di Indonesia, kejayaan yang besar kalau mengambil kira saiz populasi Filipina hanya separuh daripada populasi Indonesia.
Tambahan pula, program Headstart Davila turut menjadi platform media pilihan nombor satu bagi pemimpin pentadbiran Duterte bukan setakat untuk memacu gerak-kerja kerajaan kepada khalayak ramai; tetapi juga untuk memulihkan imej Duterte yang baru-baru ini mencetus pelbagai kontroversi dengan retorik beliau yang kesat.
Malah, saya sendiri pernah ditemubual di program "Headstart" ini dan jelas bahawa pengaruhnya adalah sangat besar.
Pengaruh ini cukup luas sehingga mampu bersaing dengan media akhbar tempatan. Malah, program pengacaraan Davila ditonton luas oleh segenap masyarakat, termasuklah pusat-pusat kuasa Filipina di Istana Presiden, dewan senat dan kongres sehingga mampu membentuk agenda politik harian.
Rancangan ini menggunakan format temu-bual yang boleh berlarutan sehingga 45 minit. Soalan Davila yang bijak dan tajam mendatangkan cabaran getir kepada mereka yang ditemubual. Tanpa persediaan rapi, mereka sudah pastinya akan jatuh tersungkur.
Fokus rancangan ini merangkumi liputan yang luas, termasuk isu Laut Cina Selatan (lebih dikenali sebagai “Laut Barat Filipina”), ombak pembunuhan besar berkaitan dadah baru-baru ini dan keusahawanan sosial.
Berbalik kepada Davila, beliau menjelaskan rahsia pengendalian jadual harian beliau secara terus-terang: “ Saya berkerja keras. Saya tidak boleh mengambil tugas pengacaraan program seperti "Headstart" secara sambil lewa. Saya sentiasa membuat kerja penyelidikan rapi untuk memastikan bahawa saya sentiasa bersedia. Malah, setiap malam, saya akan tidur ditemani dokumen dan kertas kerja selidik. Tetapi, saya turut percaya bahawa kita kena memiliki keseimbangan dalam jadual harian kita. Keluarga saya sangat penting kepada saya. Saya mempunyai dua orang anak dan suami. Saya perlu membantu mereka menyiapkan kerja sekolah dan meluangkan masa bersama – semuanya perlu tersusun.”
Meskipun beliau sangat popular, beliau turut mempunyai pengkritiknya, terutamanya sebagai seorang wanita. Davila menghadapi ujian getir pertama beliau selaku moderator untuk Debat Presiden Filipina pada April 2016.
Dalam debat tersebut, beliau telah menekankan Duterte untuk menjawab dakwaan bahawa anak lelaki Duterte merupakan pengguna dadah. Duterte telah menafikan dakwaan ini dan perbahasan itu telah bergerak ke isu lain.
Sejurus tamatnya perbahasan itu, Davila telah menjadi subjek serangan secara beramaian oleh peminat Duterte di media sosial.
Menjelaskan perasaan beliau tentang ujian gentir ini, Davila mengatakan: “Saya sangkakan perbahasan itu berjalan secara langsung, namun pada keesokan hari, saya bangun kepada serangan peribadi dan mesej kesat di Twitter dan Instagram saya. Malah, saya turut menerima ancaman bunuh dan rogol. Saya terus membalas dengan mengatakan bahawa saya cukup yakin bahawa soalan saya tentang dakwaan dadah ini adalah sesuatu yang wajar ditanya dan mampu diterima secara profesional oleh ahli politik yang berpengalaman secara Duterte.”
Malah, Duterte sendiri telah mempertahankan Davila dengan pengeluaran kenyataan media yang menggesa peminat beliau untuk menghentikan serangan kepada Davila. Beliau terut menyifatkan soalan tentang dakwaan dadah itu sebagai soalan yang adil.
“Serangan itu berhenti secara tiba-tiba,” kata Davila, “Itu merupakan ketika yang saya sedar bahawa pengaruh Duterte terhadap peminat beliau sangat besar.”
Sehingga hari ini, jelas bahawa hubungan antara media dengan Malacanang masih lagi belum tenang.
Penjelasannya mudah kata Davila: “Duterte memiliki kerperibadian yang unik. Kami dari pihak media sedang menyesuaikan diri dengan cara beliau. Dengan beliau, kewartawanan “soundbite” tidak boleh dipakai. Kita turut menghadapi cabaran untuk mendidik dan menyantuni peminat beliau tentang pendekatan media. Kita perlu mengesyorkan mereka bahawa kita tidak berniat untuk memulakan peperangan antara yang kaya dan miskin. Tiada jurang politik di sini. Kita hanya ingin membangkitkan isu-isu penting yang wajar dibincangkan demi kebaikan negara.”
Menolak ketepi kontroversi politik ini, sebetulnya, keberanian wartawan wanita seperti Davila untuk bersuara merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan.
Perkara ini lebih mengagumkan kalau kita mengambil kira cabaran harian yang dihadapi oleh kaum wanita termasuk, cabaran seksisme, diskriminasi di tempat kerja dan penarikan ruang untuk bersuara.
Seperti Davila dan Najwa, cabaran harian terhadap kaum hawa ini tidak dijadikan halangan untuk wartawan Filipina dan Indonesia yang lain seperti Jessica Soho dari GMA, Maria Ressa dari Rappler, Rosianna Silalahi dari KompasTV dan Desi Anwar dari CNN Indonesia yang turut berjaya sebagai wartawan wanita.
Apa yang jelas adalah dengan kejayaan mereka, saban hari, terbentuk satu fenomena baru di Asia Tenggara: dimana terciptanya demokrasi tulen yang membolehkan golongan wanita berada di barisan hadapan.
Berganjak ke hadapan, saya berharap, kejayaan wartawan-wartawan wanita ini menjadi satu kebiasaan.
#Ceritalah ASEAN #Filipina #Karen Davila #Karim Raslan #Najwa Shihab
;