Ceritalah ASEAN - Generasi milenial Vietnam menongkah arus dunia

Karim Raslan
September 8, 2017 12:08 MYT
Hau (dua dari kiri), berasal dari Provinsi Dong Thap, di mana orang tuanya masih tinggal. - Foto Karim Raslan
APABILA syarikat multinasional global melihat kadar pertumbuhan Vietnam pada 6.2% dan penduduknya yang berjumlah 95 juta orang, mereka pasti teruja. Setelah mengaut keuntungan dari kemakmuran di seluruh Asia Pasifik, mereka tahu apa yang perlu dilakukan hanyalah membuat motosikal dan kereta, menyediakan perkhidmatan kewangan dan rawatan kesihatan dan mereka akan menuai hasilnya selama berpuluh-puluh tahun.
Atau benarkah begitu?
Hau, 23, seorang pengawal kualiti yang baru mula bekerja di Ho Chi Minh City ada impian yang akan meranapkan segala perancangan syarikat multinasional global itu.
Dia menyimpan angan-angan mahu mengembara.
Tetapi anak muda kacak ini tidak menabung. Dia juga belum terfikir mahu mendirikan rumah tanggan atau membeli rumah. “Saya tidak beli pakaian berjenama. Saya tidak minat dengan kasut Adidas atau Nike, semuanya mahal. Saya tidak suka ke kelab malam, malah saya lebih banyak minum kopi berbanding bir.”
Sebaliknya, keinginannya berkelana itu memikat dan semuanya sudah disusun: “Saya mahu menabung untuk mengembara. Apabila kerja saya lebih stabil. Saya akan ambil cuti setahun dan keliling dunia: Paris, London, Singapura dan Amerika.”
“Saya sudah ke serata Vietnam, naik motosikal ke Da Lat (bandar peranginan zaman penjajah) dan Nha Trang (sebuah resort tepi pantai). Menyeberang ke Kemboja pun saya pernah.”
Gaji Hau sekarang VND9 juta sebulan. Gajinya itu kurang sedikit daripada keseluruhan pendapatan kedua-dua ibu bapanya (VND10 juta). Mereka tinggal di kampung keluarga di Dong Thap, kira-kira tiga jam perjalanan menaiki bas dari Ho Chi Minh City (HCMC).
“Orang tua saya ada kebun kecil seluas dua hektar dan mereka tanam pokok limau dan kelapa. Berkebun tidak mendatang banyak duit kalau kita ambil kira kos baja dan racun serangga.
“Ayah saya pemandu trak. Dia memandu dua kali seminggu berulang alik dari Can Tho (sebuah daerah berjiran) ke Da Lat, jauh di pedalaman.” Perjalanan itu memakan masa lapan jam.
Mengambil kira kepayahan hidup yang diharungi oleh keluarganya, bahawa mereka mampu menanggung Hau selama empat tahun dia belajar sehingga dapat ijazah dalam pengurusan industri di Universiti Teknologi Ho Chi Minh City adalah sesuatu yang mengkagumkan. Mereka mengirim kepadanya lebih VND2 juta setiap bulan.
Mereka malah membelikannya sebuah motosikal walaupun Hau meringankan beban keluarganya dengan bekerja sebagai barista sementara dan kemudiannya sebagai seorang tutor. Hau balik kampung menjenguk ibu bapanya sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Saya bertanya kepadanya adakah dia sering mengirimkan wang kepada mereka dan malu-malu menjawab: “Saya guna duit saya untuk mengembara dan lepak dengan kawan-kawan, jadi tak banyak yang tinggal untuk beri mereka. Tetapi saya memang hendak beri. Saya harap dapat beri mereka VND1 juta sebulan selepas saya dapat kerja lebih tetap.”
Apabila saya bertanya lagi kepadanya tentang cara hidupnya, dia menjelaskan bagaimana dia mengatur perbelanjaannya: “Tempat tinggal di Ho Chi Minh City bukannya murah. Sewa saya saja lebih kurang VND1.2 juta sebulan dan saya dapat sebuah rumah tiga bilik yang saya kongsi lapan orang di District 4. Itu tak masuk lagi VND150,000 untuk cukai.
“Minyak untuk motosikal VND200,000 dan paling kurang VND2.3 untuk makan. Saya tak merokok dan saya tak pakai pakaian berjenama. Saya suka filem Hollywood. Saya suka siri Transformers dan muzik barat. Maroon 5 bagus! Tetapi saya juga ikut muzik tempatan. Antara kumpulan muzik kesukaan saya ialah Noo Phuoc Thinh dan saya pergi ke konsert percuma baru-baru ini.”
Semua sekali, “hiburan” baginya berjumlah VND800,000 dan VND200,000 lagi untuk bil telefon.
Di tengah-tengah pusat membeli-belah dan kedai-kedai kecil yang melata di HCMC dan semangat ‘Beli! Beli! Beli!’ tanpa henti, Hau mewakili sikap yang bertentangan dengan trend global. Apatah lagi, dia generasi milenial. Hau tidak terikut-ikut dengan budaya kepenggunaan yang selalu kita kaitkan dengan pasaran yang sedang muncul dan seperti generasi milenial di serata dunia, dia mengutamakan pengalaman berbanding pemilikan. Dalam hal ini, Hau lebih dekat dengan belia berumur 23 tahun di Berlin, San Francisco dan Fukuoka.
Kajian oleh Kumpulan Harris mendapati bahawa lebih 3 daripada 4 golongan milenial di serata dunia (78%) cenderung membelanjakan duit untuk mendapatkan pengalaman atau menikmati acara berbanding membeli barangan. Selebihnya, 55% generasi milenial berkata mereka lebih banyak berbelanja untuk “mendapatkan kenangan” berbanding sebelumnya, dan hakikat ini tidak menunjukkan sebarang tanda sedang berkurangan.
Dengan obsesi dunia kepada pertumbuhan dan kepenggunaan, tumpuan golongan milenial ini kepada “berbuat” dan bukannya “memiliki” sudah pasti akan membentuk semula trend ekonomi apabila golongan belia ini mengelak daripada berbelanja di H&M, Uniqlo dan jenama multinasional yang lain.
Sekarang ini, walaupun dengan kerja tetap, mengembara dunia masih jadi agenda utamanya. Malah, dia masih mahu berjalan setiap dua, tiga bulan sekali. Dia juga boleh dikatakan mahu terus tinggal di Vietnam, walaupun mungkin bukan di Ho Chi Minh City. “Saya suka kalau ada peluang bekerja di luar negara, seperti Bangkok atau Singapura. Tetapi saya rasa saya mesti balik juga. Saya mahu balik.
“... apabila saya bersara, saya mahu balik ke kampung halaman… Ho Chi Minh City ada persekitaran yang baik untuk bekerja tetapi ia tercemar. Saya rasa saya terpaksa membina keluarga di sini terlebih dahulu kerana peluang pekerjaan dan gajinya lebih baik di sini.”
Generasi minenial seperti Hau melihat berjalan melihat dunia sebagai satu keperluan — sesuatu yang mesti mereka lakukan untuk rasa segar dan bernyawa. Seperti katanya, “Saya tidak punya apa-apa kalau saya tidak mengembara.” Sememangnya, sentimen ini cukup kuat sehingga ia mengatasi tanggungjawab utama seperti membantu keluarga.
Namun, Hau dengan keghairahan dan optimismenya tidak jauh berbeza dengan mereka yang sebayanya di serata dunia yang tetap skeptikal tentang masa depan dan tidak percaya kepada pihak berkuasa. Mereka ini generasi yang sukar difahami oleh generasi saya — yang lahir pada tahun-tahun sesudah Perang Dunia Kedua — walaupun kami sekarang mula melepaskan segala-galanya dan mereka mengambil alih tempat kami.
Tetapi watak Hau yang tidak duduk diam — dengan keinginannya untuk kerap mengembara dan melalui pengalaman “baru” dan “luar biasa” tidaklah terlalu asing dengan semangat yang menggerakkan saya dengan Ceritalah selama bertahun-tahun ini.
Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
#Ceritalah ASEAN #Dong Thap #Hau #Karim Raslan #Vietnam
;