Ceritalah ASEAN - Di Sorong: harapan dan janji masa depan

Karim Raslan
Januari 2, 2018 17:29 MYT
(Dari kiri) Mega Imbiri, Maria Korwa dan Maria Hestina adalah para mahasiswi di Universitas Muhammadiyah Sorong - Gambar Karim Raslan
SORONG sedang berkembang.
Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 9.3 peratus pada tahun 2016 (hampir berganda daripada purata nasional), Sorong yang mempunyai penduduk 30,000 itu kini pantas meneroka apabila menjadi pusat pengangkutan dan logistik bagi kawasan sekitar wilayah itu.
Malah, Sorong yang terletak di penjuru barat Papua itu juga berkembang kerana khazanah alam semula jadi yang terdapat pulau-pulau Raja Ampat yang mempunyai kisah dongeng serta burung cenderawasih yang sukar untuk dilihat.
Bagaimanapun, Sorong tidaklah indah seperti dipandang. Malah kota itu masih giat membangun dari kawasan asal belukar menjalar berkilometer jauhnya ke pedalaman dari sisi pantainya yang sibuk.
Setelah menghabiskan masa di Papua baru-baru ini, saya berasa ingin tahu bagaimana generasi muda - milenial kota itu - melihat masa depan mereka.
Adakah mereka optimis? Adakah mereka melihat lapangan terbang, pelabuhan dan Lebuh Raya Trans Papua yang baharu sebagai pembawa kepada masa depan yang makmur? Bagaimanakah hubungan antara penduduk asal Papua dan komuniti-komunit baharu - Bugis, Jawa dan Minahasa?
Saya berjumpa tiga pelajar berusia 18 tahun: Maria Hestina, Maria Korwa dan Mega Imbiri. Ketiga-tiga mereka belajar di pusat pengajian tinggi terbesar di kota itu, Universiti Muhammadiyah Sorong.
Latar belakang Maria Hestina adalah luar biasa. Anak perempuan kepada transmigran, keluarganya berasal dari Flores di Nusa Tenggara Timur. Ibu bapanya - kini bercerai - tidaklah hidup senang. Bapanya ialah seorang buruh sementara ibunya berjual petrol dan buah di pasar. Maria Hestina dan saudara perempuannya tinggal bersama ibunya sementara adik lelakinya bersama bapanya.
"Sebagai anak sulung kepada tiga beradik, dan yang pertama memasuki universiti, harapan tinggi diletakkan di bahu saya. Adik perempuan saya berusia 12 tahun manakala adik lelaki saya tujuh tahun. Saya hanya mahu menjadi contoh kepada mereka," katanya.
Keluarga Maria Korwa pula telah lama berada di Papua. Beliau adalah hasil daripada keluarga perkahwinan agama berbeza: ayahnya Muslim sementara ibunya Kristian.
Adik beradik lelakinya adalah Muslim dan adik perempuan serta Maria Korwa adalah Kristian. Ini adalah satu perkara biasa yang dipraktikkan di Indonesia.
"Keseluruhan keluarga saya berada di merata tempat di republik ini. Saya mempunyai enam saudara: dua di Jakarta, dua di Raja Ampat, seorang di Pulau Doom dan seorang lagi di Manokwari. Ke mana sahaja saya pergi, saya bersyukur kerana saya mempunyai seseorang untuk bergantung. Suatu hari nanti, saya juga akan mencari jalan hidup sendiri."
Mega Imbiri adalah anak perempuan kepada seorang nelayan dan suri rumah, kedua-duanya orang asal Papua.
"Bapa saya keluar ke laut setiap hari dan kadang kala kembali dengan hanya membawa sedikit ikan. Beliau perlu mengharungi hujan, ombak dan air masin. Sebagai anak saya memegang tangannya, dan sangat kasar."
"Saya hendak menjadi seorang pekerja pejabat. Saya membayangkan diri saya meninggalkan rumah pada 8.00 pagi dengan berpakaian rapi dan kemas selain menghabiskan kerja pada pukul 4.00 petang lalu pulang ke rumah. Itulah kehidupan yang saya mahu."
Papua telah lama dianggap sebagai bahagian Indonesia yang bergelora dan bermasalah.
Tetapi Sorong yang berada di hujung pulau itu dan pada keseluruhannya terlepas daripada pergolakan yang berlaku di Papua.
Sebaliknya, kota itu telah memperoleh manfaat besar daripada pentadbiran semasa yang memberi fokus kepada usaha mengukuhkan hubungan pengangkutan dengan kawasan lain di republik itu - mewujudkan suatu perkembangan lebih daripada Timika serta bandar di Papua, Grasberg yang merupakan kawasan lombong emas terbesar dunia serta lokasi lombong tembaga kedua terbesar dunia yang dijalankan pelombong kontroversi Amerika Syarikat, Freeport-McMoran.
Tiga wanita muda itu menunjukkan suatu perubahan positif pada wilayah Indonesia Timur. Kepelbagaian agama adalah mengagumkan - Maria Hestina, seorang Katholik, Maria Korwa ialah seorang Kristian Pentekostal manakala Maria Korwa, Protestan. Maria Hestina adalah transmigran generasi pertama sementara Maria Korwa dan Mega Imbiri ialah orang asal.
Ketiga-tiga mereka adalah kawan rapat, sama-sama bekerja di gerai Krismas di Ramayana Mall, Sorong (dinamakan bersempena epik purba Hindu) dengan menjual beg.
Mereka juga belajar dalam kelas yang sama, berusaha mendapatkan ijazah dalam Pentadbiran Awam - ia merupakan suatu kumpulan yang mempunyai latar belakang berbeza tetapi berkumpul di sebuah universiti yang diasaskan oleh pertubuhan Islam kedua terbesar negara itu.
Maria Korwa berterus terang mengenai masalah wilayah itu.
"Terdapat banyak jenayah di Sorong. Setiap hari berlaku rompakan, dan jenayah itu didorong oleh kumpulan yang ketagihan arak dan dadah - termasuk kegiatan menghidu gam dalam kalangan anak-anak muda."
Maria Hestina menambah:
"Sekitar 2005-2006, kami sering mengalami masalah bekalan air dan kami seringkali mengalami gangguan bekalan elektrik. Bagaimanapun ia bertambah baik dari semasa ke semasa tetapi penyelesaiannya masih jauh.
"Harga petrol telah meningkat - kini harga bahan api itu IDR5,000 seliter. Saya tahu kerana ibu saya menjual petrol, orang ramai mengalami kesusahan untuk menghadapinya."
Mega Imbri mempunyai pendapat tersendiri:
"Pembangunan di Papua adalah sukar. Muka buminya berbukit-bukau dan penuh dengan hutan. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk melihat projek itu membuahkan hasil. Apa yang amat mmenggembirakan saya ialah perhatian Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) terhadap Papua. Beliau kerap melawat pulau itu brbanding presiden lain sebelum beliau.
Kesemuanya mengangguk kuat tanda setuju.
Inisiatif pentadbiran mula membuahkan hasil. Maria Hestina menyatakan bahawa di bawah bekas presiden, Susilo Bambang Yudhoyono dan Jokowi, pendidikan rendah dan menengah adalah percuma. Pada 20 Disember, kerajaan mengumumkan rancangan untuk membekalkan elektrik ke seluruh Papua serta membina jalan-jalan baharu.
"Matlamat saya ialah untuk menjadi penjawat awam. Saya mahu memainkan peranan membangunkan tanahair saya," kata Maria Korwa.
"Saya juga!" jerit Mega Imbiri, yang kemudian tersipu-sipu menambah, "Ia juga benar-benar pekerjaan yang baik..."
Maria Hestina ketawa.
"Kamu semua boleh berkhidmat dalam kerajaan! Saya akan miliki perniagaan sendiri, membekalkan barangan kepada orang ramai dengan harga berpatutan. Terdapat lebih daripada satu cara untuk menyumbang!"
Ketiga-tiganya meledak ketawa.
Sementara dua wilayah (Papua dan Papua Barat) terus memberi cabaran besar kepada perpaduan dan kestabilan Indonesia - fokus terhadap pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada rakyat mereka.
Transformasi ini barangkali merupakan kunci kepada perpaduan pulau Papua dengan Indonesia.
Diakui, pandangan ini adalah amat positif - bahawa fokus pentadbiran sekarang adalah kepada menangani keluhan ekonomi mendatangkan hasil.
Tetapi adakah ia mencukupi?
#anak muda #Ceritalah ASEAN #Indonesia #Karim Raslan #Papua #Sorong
;