Ceritalah ASEAN - Berjalan di antara dua dunia

Karim Raslan
Februari 13, 2018 05:14 MYT
Arifin dan Ayahnya, Ah Kim, berada di lorong di luar rumah mereka. Ceritalah/Muhammad Fadli
ARIFIN Kurniawan berdiri di atas sosok ayahnya, 55 tahun, yang sedang membongkok. Dengan tangannya kemas berada di atas kepala bapanya, beliau yang berambut perang mengeluarkan arahan dalam bahasa Hokkien.
Hanya beberapa ketika sebelumnya, anak berusia 21 tahun itu melukakan lidahnya dengan sebilah pedang secara 'sengaja' --- menggunakan darah itu untuk menulis huruf-huruf Cina di atas kertas beras. Disuluh dengan cahaya merah yang menyeramkan, bersama patung patung dewa dan dewi yang tidak terkira banyaknya terletak pada dinding, dengan suasana penuh mentera, tempat penyembahan Fat Cu Kung menjadi tumpuan Arifin pada malam itu.
Dikelilingi oleh penganutnya, beliau mengurut apa yang kelihatan seperti janggut panjang ke dada, dengan gaya seorang maharaja.
Tetapi pada hari biasa, orang muda itu tidak bercakap Hokkien atau malah menulis China. Juga dia tidak mempunyai janggut.
Ini kerana Arifin adalah seorang bomoh perantara semangat dan pada malam itu, dia dirasuk oleh Guan Gong, dewa yang berasaskan kepada seorang panglima bersejarah bernama Guan Yi yang hidup dalam zaman kacau bilau "Tiga Kerajaan" China purba. Sebagai sebahagian daripada upacara memohon perkenan Guan Gong (popular juga terhadap kedua-dua pihak polis dan kumpulan samseng kerana kesetiaan serta keberaniannya, yang tidak pernah luntur) memasuki tubuhnya.
Seperti mana Arifin menjelaskannya kemudian, "Ada malam, saya boleh dirasuk oleh empat atau lima semangat. Untuk menyediakannya, saya mesti memelihara kesucian diri saya untuk sekurang-kurangnya tiga hari: pemakanan tumbuh-tumbuhan, tidak ada pemikiran kotor dan banyak bermeditasi. Saya tidak menjadi dewa, itu adalah suatu keangkuhan.... saya hanya menjadi tempat untuknya."
Pertama kali saya berjumpa Arifin beberapa jam sebelum itu di Tak Kie, salah sebuah kedai kopi yang dijalankan oleh orang Cina di Indonesia. Ditubuhkan pada tahun 1927, kedai itu diminati oleh penduduk tempatan di Glodok, pekan "Chinatown" Jakarta. Ketika beliau masuk, Arifin disapa mesra oleh beberapa pengunjung biasanya dengan dibahasakan sebagai "Ah Fin".
Jauh ke belakang dari Tak Kie, keluarga Arifin menjalankan kedai runcit kecil di luar kediaman mereka yang berkeluasan 70 meter persegi. Ia hanya lima minit dari Fat Cu Kung, yang mana Ah Fin mengadakan upacara sembahyangnya. Kelihatan di sebelah tempat persembahan itu ialah tokong Vihara di mana beliau berlatih tarian singa sebagai sebahagian daripada kumpulan yang disertainya sejak berusia enam tahun.
"Ini adalah komuniti saya. Saya cuba berkhidmat untuknya seboleh mungkin, sama ada dengan membantu di tokong itu, atau memelihara kelangsungan tradisi."
Selepas tamat sekolah menengah, Arifin memilih untuk terus bekerja. Tinggi, dengan pandangan tajam dan senyuman menawan, beliau mendapat pekerjaan sebagai model fesyen. Di samping menari singa, melakukan upacara dan berperaga fesyen, lelaki muda yang kuat bekerja ini juga menjual kad SIM dalam acara-acara untuk menambahkan pendapatannya.
"Saya tidak pergi ke universiti kerana saya mahu terus memperoleh wang untuk keluarga saya. Inilah makna kejayaan untuk saya, iaitu keupayaan untuk memberi semula kepada ibu bapa saya."
Kemampuan anak bongsu kepada tiga beradik ini untuk meniti antara kemodenan dan tradisi adalah mungkin hasil daripada didikan pelbagainya. Sementara bapa dan abangnya beragama Buddha, ibunya adalah seorang Islam dan kakaknya seorang Katholik.
"Kami menghargai perbezaan itu. Apabila Krismas, kami ucapkan Merry Christmas dan apabila bulan puasa, kami membantu ibu kami seberapa yang boleh."
Ah Fin sendiri adalah seorang beragama Buddha dan sedang menjalin hubungan dengan seorang beragama Islam.
"Kami akan mencari jalan bagaimana. Saya bersedia untuk memeluk agama Islam kerananya. Syarat ayah saya hanyalah supaya terus melaksanakan tanggungjawab saya terhadap tokong itu, dan itulah yang saya akan lakukan. Saya tidak nampak ada percanggahan dalam hal itu --- dalam kepercayaan kami, terdapat tolak ansur."
"Saya boleh menjadi seorang Cina dan Islam, moden dan tradisi, sorang model di pertunjukkan fesyen yang disiarkan melalui Instagram dan seorang bomoh perantara semangat di tempat-tempat penyembahan --- semua perkara ini boleh wujud bersama secara harmoni. Lagipun, Indonesia adalah negeri ratusan kaum dan agama; cuba lihat pada diri dan keluarga saya."
Menyedari tentang gelombang konservatisme agama yang diketuai oleh kumpulan radikal seperti Front Pembela Islam (FPI), saya tanya Ah Fin apakah beliau fikir mengenai Basuki Tjahaja Purnama ("Ahok"), bekas gabenor Jakarta yang merupakan seorang Cina Kristian.
"Kurangkan bercakap, lebihkan kerja. Itulah Ahok pada saya. Di bawahnya, Jakarta adalah lebih bersih dan lebih cekap. Saya fikir beliau menuju ke arah yang betul: membanteras korupsi, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memodenkan bandar raya."
Dan sekarang Ahok telah dijatuhi hukuman dua tahun penjara atas tuduhan menghina agama?
"Saya fikir itulah sayangnya. Saya tidak pedulikan kaum dan agamanya, tetapi hanya kepada kemampuannya melaksanakan kerja. Harapan saya terhadap Jakarta adalah mudah: kita sepatutnya menjadi sebuah kota moden. Ia bermakna mengatasi masalah lalu lintas, lebih pengangkutan awam dan jalan jalan bersih. Kita tidak boleh kembali ke tahun 80-an yang mana terdapat beca dan sampah di merata tempat."
Ketika Indonesia semakin hampir kepada pilihan raya wilayah 2018 dan pilihan raya presiden 2019, garisan pertembungan politik pasti menjadi semakin runcing.
Isu-isu kaum dan agama yang meracuni pertandingan gabenor Jakarta 2017 mungkin akan muncul semula dengan mencabar cogan negara: "Bhineka Tunggal Ika" (Perpaduan dalam Kepelbagaian). Ternyata, insiden-insiden semakin meningkat. Pada 11 Februari lalu, seorang lelaki berpedang menyerang sebuah gereja di Yogyakarta, mencederakan empat orang dan memenggal patung-patung Jesus Christ dan Virgin Mary.
"Indonesia yang saya kenal dan membesar, yang saya percaya merupakan suatu tempat di mana kita bergerak ke depan -- bersama. Ia tidak mengira jika kamu adalah seorang Kristian atau Islam atau China atau Jawa. Ini adalah Indonesia."
Bagi Arifin, Bhineka Tunggal Ika adalah lebih daripada mentera. Ia adalah makna bagi seseorang untuk menjadi orang Indonesia.
#Arifin Kurniawan #Ceritalah ASEAN #Indonesia #Karim Raslan #Tak Kie
;