Ceritalah ASEAN - Apa makna pendidikan dan bahasa bagi seorang guru muda di Yala
Karim Raslan
November 14, 2018 14:15 MYT
November 14, 2018 14:15 MYT
BAGAIMANAKAH anda mengajar bila mana terdapat kekerasan di sekeliling anda? Bagaimanakah anda membawa harapan, disiplin dan peraturan pada kehidupan orang muda --- pelajar sekolah tinggi dalam hal ini?
Che-Ruhanee Asma-ae yang berusia 34 tahun adalah seorang guru Melayu di Sekolah Ibunda Puteri di Srinagarinda di Wilayah Yala, Thailand yang sedang bergolak. Lahir di wilayah sebelah, Pattani, Cikgu Che, itulah panggilan yang dikenali oleh pelajar-pelajarnya mempunyai perawakan tenang tetapi dengan penampilan yang memperlihatkan kesungguhan.
"Bahasa adalah yang menjadikan kita. Bahasa bukanlah suatu agama: Ia melangkaui kepercayaan dan itulah keindahannya. Malah seorang penganut Buddha boleh bertutur bahasa Melayu, tidak ada salahnya. Jadi sekiranya orang Islam boleh bercakap bahasa Thai, maka orang lain boleh bertutur bahasa Melayu, tidak boleh?"
Dengan perbezaan ketara berbanding di pusat yang kebanyakannya beragama Buddha dan bertutur bahasa Thai, tiga wilayah paling selatan negara itu adalah majoriti Melayu dan Islam. Mereka juga telah dilanda pemberontakan paling lama di Asia Tenggara (ia bermula pada awal tahun 1960-an, yang tercetus akibat dasar-dasar asimilisasi yang dilaksanakan secara keras dan tidak sensitif, berpunca dari ibu negaranya, Bangkok.
Ketika mana Myanmar, Filipina dan negara-negara ASEAN lain terus berdepan dengan hak-hak minoriti, adalah penting untuk pelajari dari pengalaman Thailand yang kompleks dan seringkali pahit. Bahasa, agama dan budaya adalah isu-isu tajam pada masa tenang. Di sini, di bahagian selatan yang Muslim, ia adalah bahan yang berpotensi meletup.
Pun begitu, bilangan kematian telah merosot dan mengecil sepanjang beberapa dekad. Walaupun banyak usaha dilakukan, perdamaian asih sukar dicapai. Malah pada tahun 2007, bilangan kematian mencecah 892 orang --- satu respons langsung daripada kekerasan yang luar biasa dan keterlaluan akibat pembunuhan ramai pada tahun 2007, menyebabkan kematian seramai 85 orang. Syukurlah, sejak itu, kekerasan telah merosot, dengan begitu banyaknya dan setakat tahun 2018 ini, terdapat rekod paling rendah dengan 61 kematian dan 130 cedera.
Ketika mana seseorang itu mahu bersikap optimis, adalah amat di luar jangkaan bahawa komitmen Malaysia yang diperbaharui, dilancarkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad akan menghasilkan perubahan. Malahan, dengan lebih tujuh ribu nyawa hilang sejak 2004, ada baiknya untuk mengingati bahawa konflik itu merupakan soal jati diri --- terhadap agama dan bahasa. Dan tidak boleh dielakkan bahawa guru --- terutama guru bahasa Melayu --- berada di medan depan.
Cikgu Che yang berpakaian kemas itu mempunyai pendirian tegas: "Saya adalah sorang guru yang amat berbangga. Saya sudah mengajar di sekolah itu lebih dua tahun. Saya juga seorang pegawai kebajikan untuk fakulti. Saya mempunyai 100 pelajar di Mathayom 5 dan 6 (bersamaan dengan Gred 11 dan 12). Mereka bertutur Bahasa Melayu Pattani di rumah. Tetapi di sekolah, mereka belajar Melayu rasmi, tidak jauh bezanya dengan bahasa yang ditutur di Malaysia. Walaupun ia merupakan kelas opsyenal, saya serius mengajarnya seperti mana para pelajar saya serius mempelajarinya."
Bagi mereka yang tidak biasa, Melayu Patani adalah dialek tempatan yang dituturkan oleh majoriti besar penduduk wilayah itu, yang berjumlah 2.03 orang. Malah, nadanya yang berlirik lembut adalah amat hampir sama dengan pertuturan Melayu di negeri Malaysia yang berjiran iaitu Kelantan.
Keterbukaan masa kini terhadap bahasa tempatan adalah jelas berbeza dengan keadaan semasa beliau belia. Pada masa itu, para pelajar didenda kerana menggunakan bahasa Melayu. Adalah dihujahkan bahawa kelonggaran kecil seperti ini dapat membantu mengendurkan, tetapi tidak menghentikan ketegangan.
Anak kedua daripada empat orang adik beradik --- dan satu-satunya anak perempuan --- Cikgu Che tidak kelihatan seperti seorang yang garang. Tetapi beliau tidak akan duduk diam.
"Saya adalah seorang aktivis sepanjang masa saya di universiti (beliau belajar di Universiti Putera Songkhla yang berhampiran). Saya tulis sepucuk surat kepada rektor apabila beliau mengharamkan sesi dialog di kampus. Saya memimpin kawan-kawan pelajar saya membantah tindakan tentera yang tidak sepadan terhadap para militan, seperti serangan ke atas masjid Krue Se di Pattani dan pembunuhan ramai Tak Bai. Saya tidak takut untuk bersuara menentang kerajaan."
Malah, banyak di Selatan dan komuniti antarabangsa telah mengkritik pendekatan superfisial kerajaan Thai dalam menangani pertumpahan darah itu.
Pada Mac 2005, pentadbiran bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra telah menubuhkan Suruhanjaya Rekonsiliasi Nasional dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Anand Panyarachun yang amat dihormati.
Badan itu memfokuskan perakuan-perakuan mengenai usaha pembinaan perdamaian melalui suatu siri reformasi yang dicadangkan, termasuk menjadikan bahasa Melayu Patani sebagai bahasa penggunaan rasmi wilayah berkenaan, serta mewujudkan suatu unit kerajaan tanpa bersenjata berbincang dengan para militan dalam suatu dialog.
Adalah dikesalkan tetapi tidak mengejutkan bahawa bekas Perdana Menteri Jeneral Prem Tinsulanonda dan Presiden Majlis Penasihat diraja memberi respons: "Kita tidak boleh menerima cadangan itu kerana kita adalah orang Thai. Ini adalah negara Thai dan bahasa kita adalah Thai."
Cikgu Che berterus terang: "Kerajaan takut pada bahasa Melayu, ia adalah ancaman. Bahasa Thai adalah penting, tetapi ini adalah negara pelbagai bangsa."
Tidak dapat dinafikan bahawai bagi orang Thai Selatan, bahasa Melayu melambangkan lebih daripada hanya sebagai warisan dan budaya: ia adalah tonggak pada keadaan diri mereka, malah pada kewujudan mereka.
Cikgu Che menambah dengan tegas, "Bahasa merupakan sebahagian intrinsik jati diri mereka. Anda tidak boleh mengambilnya dari kami. Saya amat berbangga dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Saya melihat diri saya, pertamanya sebagai Melayu --- bukan Thai."
*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI