Ceritalah ASEAN - Angga Sasongko: Saudagar mimpi kontemporari

Karim Raslan
Ogos 9, 2017 22:34 MYT
ANGGA: Pada zaman sekarang, semuanya tentang bagaimana untuk lebih dekat dengan penonton.
PARA tukang cerita pada zaman ini seperti Angga Dwimas Sasongko, seorang pengarah filem yang berusia 32 tahun, sudah tidak lagi terikat kepada hanya satu-satu format.
Sebaliknya, mereka menguasai beberapa platform dari televisyen sampailah kepada filem, pengiklanan, video dan permainan dalam talian; sentiasa berterusan tanpa henti bercerita dan terus bercerita.
Dengan lebih 55 peratus daripada rakyat Indonesia meluangkan masa sehingga enam jam sehari di Internet terutamanya melalui telefon pintar, perang untuk menarik perhatian penonton atau pembaca jadi satu perjuangan yang luar biasa dan tidak ada sudahnya.
Angga menjelaskan: “Pada zaman sekarang, semuanya tentang bagaimana untuk lebih dekat dengan penonton. Bagaimana untuk dapat masuk ke semua telefon pintar? Mencipta kandungan dan menyebarkannya.”
Melalui dua buah filem ‘Filosofi Kopi’nya, Angga membuktikan dirinya sebagai peneraju lapangan pelbagai dimensi ini, apabila sebuah filem tidak lagi hanya muncul sebagai sebuah filem tetapi boleh berkembang jauh, melangkaui dinding pawagam.
Sememangnya, boleh dikatakan dia sudah mencipta sebuah dunia, yang merangkul tidak hanya generasi hipster milenial yang menghirup kopi espresso di kafe-kafe di Jakarta malah juga masyarakat penanam kopi di Kampung, Toraja dan Jawa Timur.
Siri Filosofi Kopi berpasak pada sepasang sahabat sejak zaman kecil yang luar biasa: hubungan mesra sejak sekian lama antara seorang yang berketurunan Cina dengan seorang pribumi Indonesia — sesuatu yang tidak mungkin terbayangkan dalam suasana kehangatan pemilihan Gabenor Jakarta baru-baru ini.
Mereka pasangan yang aneh: Jody (yang diperankan oleh Rio Dewanto) seorang pemuda Cina Indonesia yang nerd lagi kaku serta obses dengan angka, manakala Ben (Chicco Jerikho) seorang barista yang asyik dengan kopi, selalu penuh dramatik dan penuh dengan falsafah.
Tidak dapat tidak, hubungan persahabatan mereka ini mula berubah apabila perniagaan dan kemudian wanita masuk ke dalam hidup mereka. Dalam filem pertama, seorang penulis kopi yang angkuh, El (yang dimainkan oleh Julie Estelle) menggerakkan cerita manakala dalam filem yang kedua, seorang ahli perniagaan wanita, Tarra (lakonan Luna Maya yang tampak seperti matron) serta seorang barista yang aneh tetapi berdedikasi, Brie (dilakonkan oleh Nadine Alexandra) mencabar dua lelaki itu.
Lebih-lebih lagi, dalam kedua-dua filem itu, realiti Indonesia — keganasan, ketidakadilan dan terlepas dari hukuman yang membaluti hidup sehari-harian — terus memporak-perandakan keserasian dua sahabat itu.
Ben, khususnya, terpaksa berdepan dengan tragedi keluarga yang membentuk hidupnya — yang kemudian menjadi latar untuk penebusan dan perdamaian apabila dia kemudiannya berpatah balik ke kebun kopi ayahnya yang terjaga rapi di Lampung.
Walaupun kedua-dua filem itu tidak pecah panggung — barangkali kerana persekitaran sosial kota yang diangkatnya — Angga meyakinkan saya kedua-dua filem itu membuat untung. Lebih-lebih lagi kerana kecekapannya menguruskan pelbagai platform, siri Filosofi Kopi memberikan kesan yang besar kepada budaya pop Indonesia.
Sudah tentu, dua bintang jejaka ini jadi buruan. Pada masa sama, beliau menangkap semangat zaman dan mood semasa Jakarta ketika mana republik pasca reformasi ini menghampiri ulang tahunnya yang ke-20.
Sebenarnya Angga tidak mencipta budaya kopi Indonesia. Jauh daripada itu, budaya minum kopi sudah jadi sebahagian daripada cara hidup di nusantara ini. Malah, ada kata kerja yang khusus dalam bahasa Indonesia (ngopi-ngopi) untuk mengungkapkan perihal melepak dan minum kopi.
Apa yang dicapai oleh Filosofi Kopi ialah mengangkat budaya “ngopi-ngopi” yang mengasyikkan itu dan merayakan integriti para penanam kopi.
Apa yang menarik — dan ini tema yang konsisten dengan kelompok milenial di serata dunia — filem itu membangkitkan keinginan untuk kembali kepada akar dan masa lalu hidup di desa. Ada adegan-adegan ketika mana landskap Indonesia menguasai naratifnya — memukau kita yang terpaksa mengharungi realiti Jakarta yang kotor-bolor.
Ketika kehangatan Filosofi Kopi muda reda, Angga tetap juga seorang lelaki yang luar biasa sibuknya. Dia akan memberikan perhatian mengarah filem aksi “Wiro Sableng 212”, sebuah projek Fox International dengan bajet yang besar.
Filem ini akan memberi pengalaman yang berbeza baginya apabila dia memulakan penggambaran selama tiga bulan di daerah terpencil dan berhutan tebal di Jawa Barat.
Pada masa yang sama, Angga masih juga dengan rancangannya bersama syarikatnya Vinisema Pictures yang mempunyai beberapa projek yang sudah tersusun sehingga selepas tahun 2021 (termasuk tafsiran semula siri televisyen tempatan kesukaan ramai, Keluarga Cemara).
Dia juga sangat bertuah kerana isterinya, Anggia Kharisma, yang juga produser filem yang sangat cekap, ada di sisinya.
Sesudah menonton banyak filemnya, daripada kisah epik tentang ketegangan agama dan bola sepak di Ambon dalam “Cahaya Dari Timur: Beta Maluku” sampailah kepada “Surat dari Praha”, jelas bahawa Angga sangat mahir mengerjakan cerita-cerita tentang lelaki.
Biarpun dia mengatakan watak-watak wanita dalam filem-filemnya ditonjolkan juga dengan saksama, saya tidak dapat bersetuju dengannya.
Namun demikian, filem-filemnya mendapat pujian daripada pengkritik dan jadi sebahagian daripada landskap budaya kontemporari. Secara ringkasnya, dia seorang pengkarya yang lari daripada trend — tidak ada filem-filem seram daripada Angga — dan saya fikir, pada akhirnya filem-filemnya pasti akan mencapai box office pada masa akan datang.
Bertemu dengan lulusan Universiti Indonesia ini yang juga ayah kepada seorang anak agak sedikit membingungkan kerana walaupun filem-filemnya penuh dengan emosi dan sarat sejarah, dia sebenarnya agak kecil orangnya.
Namun tubuh kecilnya diimbangi oleh keazamannya yang tinggi dan kuat. Ini orangnya yang mengotakan kata — karyawan filem masa kini yang mirip-mirip ala Run Run Shaw atau George Lucas.
Angga memahami bagaimana dunia hiburan sedang berubah. Seluloid kini tidak lagi dalam sebuah ruang hampa. Ia sebahagian daripada keseluruhan pakej penceritaan yang semakin tercabar ketika Hollywood menggempur dengan produksi-produksinya — sehingga menelan filem-filem tempatan.
Tetapi dia tidak mengalah sebaliknya tekad cuba memahami dan berkarya dengan cabaran-cabaran baru itu.
Saya akan selalu ingat bagaimana Angga keluar masuk antara dunia fakta dan cerita. Misalnya, set utama filemnya — Kafe Filosofi Kopi — yang terletak di daerah Blok M di Jakarta Selatan merupakan sebuah kafe sebenar dan tempat orang berkumpul.
Sekali sekala, dua bintang jejaka tampan akan muncul dan jadi barista menghiburkan para peminat mereka yang sangat teruja.
Seni meniru hidup? Begitulah keadaannya nanti kalau Angga dapat apa yang dia idam-idamkan.
#anak #bajet #Box Office #filem #hiburan #Hollywood #Indonesia #keluarga #lelaki #rakyat #telefon pintar #wanita
;