Ceritalah ASEAN - Agama dan kota: Politik identiti di Indonesia

Karim Raslan
Oktober 27, 2017 15:27 MYT
Masjid Besar Bandung atau Masjid Raya Bandung adalah masjid provinsi di Jawa Barat. Foto tourbandungpadang.com
KETIKA berusia 15 tahun, Cindy menyaksikan suatu pembunuhan di depan sekolahnya pada siang hari. Sekumpulan samseng terlibat dengan pergaduhan, dan mangsanya, seorang lelaki muda, hanya sedikit lebih tua daripadanya telah ditikam mati. Tidak ada siapa datang membantu. "Ia adalah hal samseng, kamu tidak campur jika kamu tahu apa yang baik untuk kamu," jelas Cindy. "Apabila polis sampai, hanya yang ada ialah sekujur mayat."
"Detik-detik seperti ini membuatkan saya ingat pada pesan emak saya: 'Yakin pada Allah'."
Memegang beg tangan merah jambunya yang menawan sambil berjalan dengan memakai kasut juga berwarna merah jambu, dan memakai jaket denim serta stokin panjang hitam, kehadiran Cindy yang berusia 28 tahun itu mengisi ruang bilik itu dengan keceriaannya.
Kami duduk di dalam sebuah kafe hipster yang luas, dan menyediakan macchiato serta kek keju di Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat, Jakarta. Direkabentuk dan dibangunkan oleh Belanda pada awal 1900-an, kota itu memiliki suatu suasana seni bentuk modernis 'de Stijl' -- suatu yang masih menjadi tarikan lebih 100 tahun kemudian.
Sambil melihat sekitar tempat persinggahan penuh gaya itu, Cindy bercerita, "Kopo, di Bandung Selatan di mana beliau membesar adalah berbeza. Ia merupakan kejiranan yang kasar. Tentunya ia sekarang lebih selamat, tetapi masa dulu terdapat banyak bengkel-bengkel kecil yang mana orang bekerja dari rumah. Ibu saya akan mengingatkan saya supaya tidak keluar berjalan sendirian, bimbang saya akan diculik."
"Kami menjalani kehidupan sederhana. Bapa saya bekerja dalam 'industri rumah' pembuatan kasut. Pada masa itu, rumah kami penuh dengan kehidupan: para pekerja berbual, sentiasa ada bunyi tukul besi dan bapa saya duduk di atas kerusi melihat pekerjaan yang sedang dilakukan."
"Tetapi terdapat banyak persaingan, banyak perasaan iri hati dalam masyarakat. Ada sekali berlaku rusuhan dan banyak orang mengetuk pintu rumah kami. Bapa saya cedera kerana cuba melindungi kami. Selepas itu, beliau tinggalkan industri itu."
Mungkin kerana latar belakang yang sukar ini menyebabkan bapa Cindy mendorong beliau untuk lebih bersikap "lelaki".
"Saya adalah seorang tomboy ketika membesar! Bapa saya akan memakaikan saya baju-t Power Rangers dan seluar panjang. Beliau memotong pendek rambut saya...Saya memanjat pokok dan bermain kasar dengan budak-budak lelaki. Bapa saya mahukan saya menjadi berani dan kuat."
Memerhati cita rasa gaya beliau yang dilakukan secara teliti dan terpilih, saya terfikir dan bertanyakan mungkinkah gaya anggunnya sekarang merupakan tindak balas kepada tahun-tahun beliau berlagak "lelaki."
"Oh sudah tentu! Kebanyakan masa dalam hidup saya, bapa saya menentukan baju saya, ke mana saya boleh pergi, dan apa yang saya boleh lakukan. Apabila saya berada di sekolah menengah, saya menjadi sangat nakal! Saya akan buat banyak tindik telinga dan dengar musik "tidak baik" seperti Britney Spears. Kounselor sekolah sangat bimbang terhadap saya. Ibu bapa saya sering menangis kerana tingkah laku saya masa itu."
"Sudah tentu sekarang, dengan ada anak sendiri, saya tahu apa yang mereka rasakan. Adalah penting untuk saya mendidik anak saya untuk menjadi orang bertakwa."
Suami Cindy bekerja sebagai pelukis tattoo di Bali dan memiliki beberapa kedai tattoo. Perniagaannya maju. Untuk beberapa ketika Cindy tinggal bersamanya di sana.
"Saya amat suka Bali tetapi sukar di sana. Anak-anak saya (berusia lapan dan lima tahun) membesar dikelilingi oleh pengaruh luar biasa. Bali amat liar! Ada satu masa, kami berada di McDonalds apabila seorang asing berjalan masuk hanya berpakaian bikini!"
"Anak-anak saya bertanya banyak dan lebih banyak soalan. 'Mengapakah orang perempuan itu hampir telanjang? 'Mengapa bapa ada tattoo, tidakkah itu haram?'' Terus terang, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya."
Cindy berpindah kembali ke Bandung bersama anak-anaknya, dan beliau lebih gembira.
"Sekarang anak-anak boleh membesar bercakap Bahasa Indonesia dan bahasa Sunda, dan tidaklah bahasa Bali. Mereka juga boleh pelajari Quran dan bukannya amalan-amalan Hindu. Saya suka kepelbagaian budaya Indonesia tetapi saya mahu anak-anak saya mengenali Tuhan dan menjadi orang Islam yang baik."
Cindy adalah seorang dari etnik Sunda, sebahagian daripada komuniti yang mempunyai 40 juta orang dan mendominasi Jawa Barat. Mereka adalah kumpulan etnik kedua terbesar Indonesia selepas Jawa, mereka amat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Malah, orang Sunda sekian lama menjadi tulang belakang kepada Islam politikal di sebuah republik yang mempunyai parti-parti politik seperti Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan Partai Persatuan Pembangunan (PPP) yang mempunyai akar umbi mendalam di Jawa Barat.
Tambahan pula pada tahun 2014, Joko Widodo ("Jokowi"), yang memenangi pilihan raya presiden tahun itu kalah di keseluruhan wilayah itu kepada bekas jeneral, Prabowo Subianto dari Gerindra.
Cindy tidak begitu berminat pada politik.
Namun begitu beliau adalah peminat datuk bandar Bandung, seorang bekas arkitek yang menjadi ahli politik, Ridwan Kamil. Seorang yang berusia muda dan petah bercakap (walaupun timbul persoalan mengenai keberkesanannya di peringkat bawah), pemimpin berpendidikan Berkeley itu berharap dapat naik ke peringkat gabenor di wilayah itu pada tahun 2018.
Ia merupakan langkah bercita-cita besar kerana beliau telah meninggalkan bekas penyokong-penyokongnya (termasuk Prabowo) dan menyertai perjuangan Presiden.
Jika beliau bertanding bagi jawatan Gabenor, banyak pihak menjangkakan akan berlaku perulangan jenis politik identiti yang buruk, yang telah mencemarkan pilihan raya Jakarta awal tahun ini.
Malah terdapat keprihatinan yang meningkat bahawa kedua-dua pilihan raya kerajaan tempatan Jun depan dan pilihan raya presiden tahun 2019 akan menyaksikan pertambahan darjah sentimen agama dan kaum ketika mana pemahaman berbeza mengenai peranan kepercayaan dan etnik akan menggelegak ke permukaan dalam kehidupan awam.
Tentunya kesukaran Cindy sebagai seorang Islam hidup di Bali yang bermajoriti Hindu serta kesukaran beliau untuk menjelaskan realiti kepelbagaian budaya Indonesia kepada anak-anak kecilnya menunjukkan pergelutan dengan politik identiti di situ sebagai suatu yang kuat seperti mana di tempat lain juga.
Fokus media antarabangsa terhadap watak-watak seperti Front Pembela Islam (FPI) yang bergaris keras menyembunyikan betapa ehwal agama berperanan besar kepada orang Islam Indonesia terutamanya orang Sunda.'
Terdapat lebih penekanan terhadap amalan beragama. Ini pula membawa kepada tekanan yang lebih kuat ke atas pluralisme gaya Bhineka Tunggal Ika (atau Perpaduan dalam Kepelbagaian) yang selama ini telah menyatukan republik itu.
Pemimpin Indonesia masa kini dan akan datang mesti secara bijak menguruskan ketegangan yang bersaing ini, kalau-kalau ikatan negara yang mempunyai masa depan cerah ini akan rosak dan tidak boleh dibaiki lagi.
Orang Indonesia biasa seperti Cindy memerlukan suatu kepimpinan yang boleh menaikkan dan menjadikan mereka berasa selamat, dan bukannya momokan momokan yang memainkan rasa takut dan prasangka mereka.
Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
#agama #Ceritalah ASEAN #Indonesia #Karim Raslan #politik
;